Tuesday, August 5, 2025

KISAH PENUNGGU LUBUK BAUNG

 

Sumber : <<<Mastika>>>
May 24, 2024
KISAH PENUNGGU LUBUK BAUNG

Siapa kaki pancing? Kalau yang jenis tegar, kebiasaannya pasti ada pengalaman aneh pernah dilalui sewaktu memancing. Begitu juga kisah yang akan saya ceritakan ini.

Saya pun kaki pancing juga. Ada satu kisah yang saya alami, tak silap berlaku dalam tahun 2010. Suatu malam, saya bersama abang, Rauf dan seorang rakan bernama Man pergi memancing di Sungai Kerian, iaitu sebuah sungai besar yang menjadi sempadan antara negeri Perak dan Kedah.

Sungai Kerian.

Saya bergerak sama-sama dengan menaiki motosikal masing-masing. Rumah saya hanya lebih kurang 10 kilometer dari sungai tersebut. Lebih kurang 15 minit, kami tiba di tepi Sungai Kerian.

“Kita pergi Lubuk Baung. Aku tak pernah pergi lagi lubuk tu, orang kata banyak ikan,” cadang Man. Saya dan abang setuju dengan cadangannya itu.

Untuk sampai ke Lubuk Baung, kami terpaksa meredah ladang sawit yang licin dan berlopak. Hendak pula lepas hujan, jalan tanah merah bertambah licin.

Hampir 15 minit meredah ladang sawit barulah kami tiba di tebing sungai tempat letaknya Lubuk Baung. Enjin motosikal dimatikan. Suasana gelap gelita dan sunyi sepi. Hanya kedengaran cengkerik, katak, unggas-unggas menjerit dan aliran air sungai yang agak deras menghentam tebing serta tunggul kayu.

Rauf meraba-raba mencari suluh di dalam bakul motosikalnya. Punat lampu picit ditekan dan suasana kembali terang. Abang saya itu menyuluh sekitar tebing sungai mencari kawasan yang sesuai untuk memancing.

“Aku nak duduk sini,” katanya setelah mendapat tempat strategik untuk mencampakkan umpan pancingnya. Di sebelah Rauf pula, Bob melabuhkan punggung.

Bagaimana dengan saya?

“Aku nak pergi atas sikit. Apa-apa hal, panggil aku,” kata saya.

Jika memancing, saya memang tidak suka duduk berdekatan. Kalau duduk dekat-dekat, nanti akan bersembang. Bising. Ikan takut nak datang makan umpan. Lagi satu, saya tidak suka berkongsi lubuk ketika memancing.

Saya menghidupkan enjin motosikal. Suasana kembali hingar kerana bunyi enjin motosikal saya menderam melalui jalan berlopak. Hampir 50 meter bermotosikal, saya berhenti.

Saya nampak sebuah kawasan lubuk yang sesuai untuk memancing. Setelah memasang umpan perut ayam, saya membaling kail ke dalam lubuk.

Beralaskan sebidang surat khabar, saya duduk menunggu umpan diragut baung. Khabarnya di lubuk itu, pemancing tidak pernah pulang tangan kosong. Kalau nasib baik, dapat baung seberat dua kilogram.

Kisah Seram

Masa berjalan. Suasana di tebing Lubuk Baung sunyi dan dingin. Saya rasa bagaikan berada di sebuah dunia asing. Apabila duduk sendirian dalam gelap gelita dan sunyi sepi, entah mengapa malam itu tiba-tiba saya terasa seram. Tidak semena-mena kepala ligat teringat kisah-kisah seram di sungai itu.

Pernah sebelum ini seorang kawan pemancing terserempak hantu air ketika memancing di kawasan tersebut. Mulanya pancingnya disentap dengan kuat. Dia fikir yang memakan umpan itu pasti ikan besar sebab terlampau berat.

Selepas berhempas pulas menarik tali joran, pemancing itu menyuluh ke dalam air. Tetapi sebaik lampu suluh dihalakan ke dalam sungai, dia terkejut.

Bukan ikan yang tersangkut, sebaliknya sekujur tubuh berbungkus kain putih. Lebih menakutkan lembaga itu berambut panjang dengan mata merah menyala. Akibat kejadian tersebut, pemancing itu demam panas tiga hari.

Pernah juga saya dengar cerita tentang pemancing yang melihat gumpalan api berlegar-legar di kawasan belukar berhampiran Lubuk Baung. Mulanya cuma sebesar api mancis, menyala di atas tanah.

Tidak lama kemudian, api itu mula membesar dan naik ke udara. Dari hanya sebesar api mancis, ia berubah menjadi sebesar buah kelapa dan melayang-layang di atas pokok yang setinggi tiga meter.

Pemancing itu terus memerhati. Hendak lari, kakinya bagaikan sudah hilang tenaga. Hendak menjerit, suaranya tidak mampu keluar. Dalam keadaan ketakutan itu, dia melihat api itu berlegar-legar menuju ke permukaan sungai.

Kira-kira dua tiga minit berlegar di situ, tiba-tiba api tersebut menyala dengan marak seperti dicurah minyak. Serentak itu muncul suatu lembaga hitam berdiri di permukaan sungai. Tubuhnya besar dan tinggi. Separuh daripada kakinya di dalam air, manakala selebihnya berdiri menjulang ke udara. Pemancing itu menganggarkan lembaga tersebut tingginya sekitar 40 meter.

Kira-kira 10 saat menjulang tinggi, api itu padam dengan sendirinya. Dan serentak itu, pemancing berkenaan terdengar bunyi deburan air yang cukup kuat, seperti orang berjalan di dalamnya. Apabila bunyi deburan itu semakin jauh, pemancing itu terus lari lintang pukang.

Sebenarnya kebanyakan pemancing-pemancing di sekitar kawasan tersebut memang tidak mahu memancing di situ, kecuali saya. Lagi pun, sepanjang hidup, belum pernah saya nampak hantu. Jadi, apa saya hendak takut.

Saya cuba menangkis cerita-cerita seram yang datang menyerbu fikiran, walaupun cukup sukar melakukannya. Yang diganggu itu sebab mereka suka sangat percaya pada hantu, semangat pula lemah. 

Suasana terus sunyi, gelap dan dingin. Saya menarik tali pancing dan memasang umpan baru sebelum dicampak semula ke dalam air. Sedang mengelamun menunggu umpan disentap, saya terhidu bau busuk.

Bau itu begitu meloyakan, hamis bercampur darah. Semakin lama, bau itu semakin kuat. Saya mula risau. Lantas saya menyuluh kawasan sekitar mencari arah bau itu datang.

Takut juga saya kalau bau itu datangnya dari babi hutan atau binatang-binatang buas lain. Tambahan pula ada bau darah sekali, bimbang kalau binatang itu tercedera. Haiwan yang cedera memang agresif dan boleh membahayakan nyawa kita.

Apabila menyuluh di tepi perdu buluh berhampiran, saya tersentak. Di belakang perdu buluh itu berdiri satu lembaga besar dengan ususnya terburai keluar. Saya dapat melihat dengan jelas lembaga itu berambut panjang, sebelah mukanya begitu hodoh dan terapung-apung di udara.

“Hiiiiiiiiiiii… Hiiiiiiiiiiiiiiiiiii…” Lembaga itu mengilai-ilai dengan kuat. Waktu itu, saya rasa jantung berdegup kencang seperti hendak pecah. Bulu roma terpacak.  Tiada apa yang saya fikirkan kecuali…HANTU!!!

Tanpa berlengah, saya berlari sekuat hati meredah belukar menuju ke arah abang saya sambil menjerit. Beberapa kali saya jatuh tersungkur kerana tersadung pokok dan akar.

“Hantu! Hantu!” pekik saya sebaik tiba di tempat abang saya memancing.  Badan saya menggeletar ketakutan.

Apa yang berlaku saya ceritakan semuanya. Kemudian tanpa berlengah mengajak abang dan Man pulang. Saya tak sanggup lagi memancing bertemankan lembaga itu. Mereka setuju dan kami terus tinggalkan Lubuk Baung.

Motosikal saya? Saya tinggalkan saja di situ. Esok sajalah saya ambil balik.

Ramai Pernah Diganggu

Esoknya cerita saya disakat hantu kecoh dibualkan di kedai kopi kampung kami. Ada yang ketawa dan ada yang membuka cerita tentang Lubuk Baung itu. Salah seorang penduduk kampung yang merupakan pemancing tegar di lubuk itu juga ada kisahnya.

Kata penduduk itu, sesiapa yang hendak memancing di Lubuk Baung tidak boleh membawa organ dalaman haiwan terutamanya pada waktu malam. Sebab di lubuk itu ada penunggu yang suka makan organ dalaman haiwan. Sesiapa yang bawa, pasti akan disakat terutama jika duduk seorang diri.

Cerita pemancing bernama Sulaiman itu lagi, pernah satu hari, tiga orang penduduk luar datang memancing di Lubuk Baung. Ketika itu lebih kurang pukul 11.00 pagi dan mereka duduk agak berjauhan antara satu sama lain.

Sedang memancing, salah seorang pemancing itu tiba-tiba terdengar seperti suara kawannya menjerit meminta tolong. Bila dia meninjau, di tebing sungai kelihatan seorang rakannya sedang terkapai-kapai dalam sungai seperti hendak lemas.

Tanpa berlengah pemancing yang pandai berenang itu terus terjun hendak selamatkan kawannya. Tetapi sebaik dia masuk ke dalam sungai tiba-tiba kawannya tadi terus ghaib. Sebaliknya muncul satu lembaga yang amat menakutkan bertubuh hitam, berkepala besar dan botak. 

Dalam keadaan panik, pemancing ini cuba berenang ke tebing sungai. Tapi dia terasa sukar sebab kedua-dua belah kakinya disentap-sentap dari dalam air dengan kuat oleh sesuatu.

Waktu itu dia hampir lemas. Menggunakan segala kudrat, pemancing itu bergelut untuk menyelamatkan diri sambil menjerit. Nasibnya baik kerana jeritannya didengari dua orang lagi rakannya. Mereka sempat menghulur sebatang kayu sebelum dia ditarik ke tebing sungai.

Selepas selamat, mereka tanya kenapa turun dalam sungai. Pemancing itu ceritalah apa yang berlaku. Selepas itulah mereka tahu yang lemas itu bukannya kawan, tetapi  penunggu sungai berkenaan yang menjelma untuk meragut nyawa. Sedangkan, kawan yang dilihat hampir lemas itu sebenarnya sedang memancing di tempat lain.

Bukan itu sahaja, seorang lagi pemancing yang di panggil Mansur juga ada kisahnya. Suatu hari selesai memancing di Lubuk Baung, Mansur berkemas hendak pulang.

Ketika itu sudah menjelang Maghrib. Lebih kurang pukul 7.05 minit. Sedang dia tunduk mengemas barang, tiba-tiba Mansur rasa kepalanya berat seperti di tekan seseorang.

Anehnya, bila Mansur lihat sekeliling tiada sesiapa pula. Mansur kelam bakut mengemas barang. Baru hendak menuju ke motosikalnya, Mansur terkejut dan pitam. Nasib Mansur baik kerana dijumpai oleh dua orang pemancing juga dari kampungnya yang melalui jalan itu. Merekalah yang hantar Mansur pulang ke rumah.

Bila sudah pulih, Mansur bercerita, ketika hendak ke motosikal dia tiba-tiba ternampak bayang-bayang hitam laju meluru kemudian merempuhnya. Sejurus dirempuh, Mansur terus jatuh terjelepok.Sebelum pengsan, Mansur sempat melihat kelibat bayang-bayang hitam itu bentuknya seperti monyet yang amat besar. Besarnya seperti mawas.

Selepas mendengar cerita Mansur, orang yang mendengar mengesyaki apa yang Mansur jumpa itu adalah hantu raya yang dilepaskan oleh tuannya atau yang mendiami kawasan lubuk tersebut sejak dahulu lagi. Wallahualam.

Catatan pengalaman :  Ahmad Nazri Ghazali, Kerian, Perak


No comments: