Tuesday, July 20, 2010
Doaku Untukmu....
Ya Allah ...
Monday, July 19, 2010
Renungan bersama...
Sunday, July 18, 2010
Punca-punca Histeria
Thursday, July 15, 2010
Hidayah
SBDJ siri 6 - Melihat Jembalang Air
Datuk menghadapi peristiwa itu dengan tenang. Dan ular terus menghampirinya. Datuk cabut golok perak di pinggang.
"Kalau kau berniat baik kau lalu, kalau niatmu buruk kau berhenti." Sebaik sahaja datuk mengakhiri cakapnya itu ular sudah pun berada di depannya. Ular pun pangung kepala. Bagaikan kilat datuk mencantas kepala ular. Badan ular terus dikerat tiga. Jatuh ke dalam perut sungai satu-satu. Barulah puas hati datuk. Malam bertambah dingin. Daun-daun pokok di kiri kanan jalan bergerak-gerak diterajang oleh angin. Bunyi suara burung hantu bersahut-sahutan. Di selang-seli dengan raungan anjing yang mendayu-dayu.
Datuk merenung ke dalam sungai. Datuk lihat air sungai yang mengalir tenang itu bergolak dan berombak. Datuk pasti di tempat air yang beralun dan berombak itulah bangkai ular yang dipotongnya jatuh. Makin lama, makin kuat alun dan gelombang air sungai itu bersama dengan bunyi yang hebat. Datuk terdengar bagaikan ada orang mandi di situ. Datuk termenung. Belum pernah dia berhadapan dengan hal-hal begitu. Mata datuk terus juga merenung pada air sungai yang beralun dan berbunyi dengan teliti. Datuk berdebar juga. Terniat dalam hatinya mahu meninggalkan tempat tersebut. Niat itu mati dengan sendirinya, bila timbul desakan dalam hatinya untuk mengetahui apakah benda dalam perut sungai.
Dalam suasana agak kelam-kabut itu. Datuk terpandang, air sungai mula melimpah ke tebing. Di tengag-tengah sungai itu timbul satu lembaga besar hitam, badannya sebesar kerbau jantan. Lembaga itu terus timbul. Setiap kali lembaga itu bergerak. Air terus bergelombang merempuh pokok-pokok keladi di tebing sungai. Semuanya tumbang. Macam selalu, bila berhadapan dengan perkara-perkara yang aneh datuk akan membaca ayat suci al-quran. Kali ini datuk membaca ayat 'Kursi' dengan khusuk. Semasa dia membaca ayat-ayat itu lembaga di dalam sungai terus mengamuk dan bertempik, bagaikan suara gajah. Datuk tidak peduli. Dia terus membaca. Bila ayat itu habis dibaca. Suasana di dalam sungai kembali normal. Air sungai terus mengalir tenang. Daun-daun pokok tidak bergerak meskipun angin malam bertiup.
"Syaitan ?" kata datuk sambil meninggal kan tempat tersebut. Datuk terus mendapatkan anak buahnya. Mereka berkumpul kerana hari sudahpun beransur cerah. Datuk terus membawa anak buahnya ke surau dan menunaikan sembahyang subuh. Lepas sembahyang subuh mereka pun berpecah meneruskan kerja masing-masing. Separuh dari pada anak buahnya terus ke Paya Besar menoreh getah dan separuh lagi pergi ke tempat perusahaan membuat batu-bata di Jalan Parit. Banyak juga anak buah datuk yang menjadi buruh di syarikat perusahaan itu.
Datuk tidak pula menceritakan apa yang dialaminya pada orang-orang kampung. Walaupun begitu, ada juga orang kampung yang mengalami peristiwa seperti yang datuk alami itu bila berjalan malam di jambatan besi tersebut. Jambatan besi itu masih ada lagi hingga sekarang, terletak di antara Kampung Pulau Kabung dengan Kampung Mandi Upeh. Tapi , peristiwa ganjil seperti yang dialami oleh datuk itu tidak berlaku lagi.
Di kiri kanan jambatan besi itu kini sudah penuh dengan rumah kediaman. Kadang-kadang jambatan itu jadi tempat persinggahan anak muda pada setiap malam, selepas mereka menonton wayang di Pekan Sitiawan, Air Tawar atau Bruas. Dan kalau diceritakan kisah-kisah aneh pada mereka. Mereka tidak akan percaya, malah mereka akan mengetawakan pada orang yang menceritakannya.
Sebulan selepas dari peristiwa yang aneh itu, pada satu malam rumah datuk didatangi oleh seorang pemuda Udin namanya. Dia meminta jasa baik datuk untuk membuat air penawar pada anak kecilnya yang sudah seminggu menangis malam.
"Agaknya perut anak kau kembung," kata datuk sambil merenung muka Udin.
"Sudah berbotol minyak angin saya lumurkan ke perutnya." Jawab Udin dengan tenang. Datuk terdiam kerana dia tahu, dia bukanlah seorang dukun atau pawang, tapi kerana dia merupakan orang yahng tertua di kampung tersebut, dia dianggap tahu dalam hal-hal kedukunan.
"Bawa saja anak kau ke klinik," datuk mengesyurkan. Udin terdiam sejenak. Muka datuk direnungnya lama-lama.
"Malam klinik dah tutup."
"Sepatutnya, kau tak payah minta penawar dari aku, jumpa daktor lagi baik, sebabnya mereka boleh memeriksa anak kau, mana tahu anak kau ada mengidap penyakit,"
"Saya tahu, tapi…." Udin berhenti bercakap. Ada rasa kecewa dan putus asa bermain di wajahnya.
"Baiklah, bolehlah aku buatkan penawar, tapi esok kau bawalah anak kau ke klinik," kata datuk lagi. Datuk pun segera membuat air penawar dan diberikan pada Udin. Sebelum Udin meninggalkan rumah, lagi sekali datuk memgingatkan Udin supaya membawa anaknya menemui doktor. Datuk berpendapat berubat dengan doktor lebih baik dari berubat dengan dukun, kerana dengan peralatan moden, sakit seseorang dapat dikesan dengan cepat.
Pesan datuk itu tidak dipersiakan oleh Udin. Dia terus membawa anaknya menemui doktor dan menerima rawatan dengan baik. Sejak itu anaknya tidak lagi menangis malam. Memang, begitulah sikap datuk, dia lebih suka mengalakkan orang-orang kampung berubat dengan doktor, kecuali kalau sudah menemui doktor pesakit tidak mahu baik, barulah dia menyuruh berubat cara kampung.
"Mari ikut aku ke rumah Anjang Dollah," kata datuk pada saya.
Pemintaan datuk itu tidak dapat saya tolak. Dengan rasa kecewa saya meninggalkan kumpulan kawan-kawan saya yang sedang bermain galah panjang di depan rumah datuk.
"Apa halnya," tanya saya
"Sajalah,aku dengar cerita Anjang Dollah tu handal mengubat orang kena sampuk, anu nak tengok cara dia mengubatnya. Kalau boleh aku nak belajar darinya."
"Belajar buat apa ?" balas saya. Datuk tersenyum dan terus berkata : "Belajar untuk tahu apa salahnya, tidak merugikan kita."
Setelah mendengar cakapnya itu. Saya pun tidak mengeluarkan sebarang soalan atau pertanyaan. Berjalanlah saya dengan datuk petang itu menuju ke Kampung Gelung Gajah yang jaraknya lebih kurang tiga batu dari kampung datuk. Terpaksa meredah dua tiga anak sungai. Dan rumah Anjang Dollah letaknya agak terpencil dari rumah-rumah di situ. Berada di pinggir sebuah kolam dan berhadapan dengan sebuah belukar kecil.
Lebih kurang pukul empat petang, sampailah saya dan datuk ke rumah Anjang Dollah. Kami dipersilakan naik. Datuk terus menyatakan, bahawa kedatangannya ialah untuk melihat bagaimana cara dia mengubati orang yang kena sampuk.
"Apa salahnya, " balas Anjang Dollah dengan senyum bangga. Anjang Dollah pun mempersilakan saya dan datuk masuk ke dalam sebuah bilik kecil. Di dalam bilik itu penuh dengan barang-barang perubatan seperti kemenyan hantu, buah limau, buah kelapa dan tempat membakar kemenyan. Di tepi bilik terdapat sebuah katil dengan tilam dan bantal bersarung kain hitam. Bantal dan tilam itu sudah buruk benar. Bila saya menghampirinya hidung saya tidak tertahan mencium bau hapak dari bantal dan tilam.
Bila saya mahu membuka kain tilam yang menutup katil itu saya ditahan oleh Anjang Dollah. "Jangan," suara Anjang Dollah keras. Saya duduk kembali. Hati saya ingin tahu, siapakah gerangan yang tidur di situ. Saya yakin ada orang yang tidur di atas katil itu, kerana bila saya perhatikan kain hitam itu bagaikan bergerak-gerak mengikuti tarikan nafas manusia.
"Siapa yang baring tu," datuk pula bertanya. Anjang Dollah merenung muka datuk. Saya mula resah tidak menentu.
"Sahabat saya, orang suruhan saya. Boleh disuruh keluar waktu malam dan balik pagi." Anjang Dollah memperjelaskan pada datuk. Saya dan datuk pun angguk kepala.
"Dia tidur agaknya," tanya saya lagi.
"Dia tak tidur," sahut Anjang Dollah.
"Kalau tak tidur kenapa tak bangunkan." Tingkah datuk.
"Dia malu tengok orang." Itulah jawapan Anjang Dollah. Jawapan itu sebenarnya tidak memuaskan hati saya. Dan saya mahu bertanya lagi. Bila saya mahu membuka ulut, datuk segera mencuit bahu saya. Fahamlah saya, bahawa datuk tidak mahu saya menyoal lebih lanjut tentang apa yang berada di atas katil.
Anjang Dollah meninggalkan kami di dalam bilik. Ada orang datang ke rumahnya. Sepeninggalan Anjang Dollah itu, bulu roma saya mula berdiri. Rasa takut datang dalam hati saya. Kalaulah tidak ada datuk di samping pasti tempat itu saya tinggalkan. Anjang Dollah datang. Dia minta kami duduk di ruang tengah. Di ruang tengah itu terdapat sorang perempuan muda. Duduk bersila di atas lantai. Perempuan muda itu datang ke rumah Anjang Dollah kerana mahu meminta tolong mengubati adiknya yang menjerit dan meraung tidak tentu arah macam orang gila.
"Adik saya kena buatan orang Pak Anjang," kata perempuan itu dengan muka agak muram. "Dia terpaksa diikat dengan tali di tiang rumah," tambah perempuan itu lagi. Anjang Dollah mengigit bibir dan terus melagakan gigi atas dengan gigi bawah beberapa kali. Tanpa bercakap sepatah, Anjang Dollah terus ke dapur. Datang semula keruang tengah dengan mangkok putih yang penuh berair.
"Mari masuk ke dalam bilik saya, " Anjang Dollah menjemput peremmpuan , datuk dan saya. Kami pun masuk ke dalam biliknya. Anjang Dollah bersila, di depan katil. Matanya merenung air dalam mangkok putih sambil mulutnya membaca sesuatu. Entah apa yang dibacanya saya pun tidak tahu. Dia menoleh ke belakang merenung perempun muda seraya berkata, "Kau balik dulu."
Bila perempuan itu sampai dekat muka pintu. Anjang Dollah memanggilny akembali dan menyuruh perempuan itu duduk di depannya. Perempuan itu akur dengan perintahnya itu. Anjang Dollah terus membaca sesuatu. Lebih kurang sepuluh minit Anjang Dollah berbuat begitu. Mukanya bertukar menjadi hitam. Matanya jadi hijau berkilai. Separuh anggota badannya mengeletar, macam orang kesejukan. Lama juga Anjang Dollah jadi begitu. Hati saya Tuhan saja yang tahu betapa takutnya saya ketika itu. Bila wajahnya berubah dalam keadaan biasa. Barulah Anjang Dollah bersuara, tapi suaranya bertukar menjadi parau.
"Siapa nama adik kau," tanya Anjang Dollah pada perempuan itu.
"Aishah."
"Berapa umurnya?"
"Sembilan belas tahun."
"Siapa nama emaknya."
"Hamidah."
Selesai sahaja Anjang Dollah menyoal dan menerima jawapan dari perempuan itu. Dia segera bangun dan terus rapat ke katil. Berdiri di situ agak lama juga sambil tangan kanannya memegang pangkal dagunya.
"Hai sahabatku yang setia, pergilah engkau ke tempat asalmu, ambillah sehelai rambut perempuan mati beranak," kata Anjang Dollah. Kain hitam mula bergerak. Datuk duduk dengan tenang. Saya merasakan mahu buang air kecil, terasa mahu buang air besar. Saya jadi serba salah. Rasa mahu buang kecil dan air besar itu hilang juga, bila saya terfikir kalau masa buang air kecil atau buang air besar kain hitam itu akan datang pada saya. Buruk padanya.
"Pergilah sahabatku," ualng AnjangDollah. Dengan tiba-tiba kain hitam terjatuh atas lantai. Apa yang saya lihat di atas katil ialah bantal dan tilam bergerak sendiri. Tilam bagaikan digulong oleh orang.
"Dia sudah pergi," kata Anjang Dollah pada datuk. Datuk pun mengangguk kepalanya. Anjang Dollah pun mengambil kain hitam dan terus memberikan pada perempuan muda itu.
"Kau rimbaskan kain hitam ke muka adikmu tujuh senja, lepas tu kalau tak juga mahu hilang, kau datang ke mari lagi," kata Anjang Dollah. Dan perempuan itu pun menghulurkan wang pada Anjang Dollah. Dengan tenang perempuan itu meninggalkan rumah Anjang Dollah.
"Ini baru sedikit sahaja, minggu depan kalau kalian datang, kalian boleh lihat cara lain saya mengubat, saya boleh kenalkan awak berdua dengan sahabat saya itu," megah benar Anjang Dollah.
"Saya datang lagi," sahut datuk.
"Datanglah, tapi kena datang malam tau,"
"Baiklah."
Datuk memberikan janji. Sesungguhnya janji yang diberikan oleh datuk pada Anjang Dollah satu penyiksaan pada diri saya. Bila masa yang dijanjikan sampai. Berangkatlah saya dengan datuk menuju ke rumah Anjang Dollah. Kami terpaksa menggunakan andang yang dibuat dari daun kelapa untuk menyuluh jalan. Malam cukup gelap. Tidak ada sebiji biuntang pun di langit. Sepanjang perjalanan telinga kami diasak dengan suara katak dan suara burung jampok dan burung hantu. Bulu roma saya tegak berdiri, bila terdengar suara lolongan anjing sayup-sayup dari gigi kampung.