Wednesday, November 20, 2024

KOLEKSI TOK AWANG NGAH : SIRI 1- ULAR DALAM KUBUR WANITA

 Lama juga orang-orang kampung bercerita mengenai kematian Latip Pekak semasa memandikan mayat, isterinya Mak Yot Bidan yang kononnya balik kerumah semula. Judin Bauk yang menjadi saksi peristiwa itu bersama adik arwah Mak Yot Bidan iaitu Usin Macuk. Tetapi kata orang tua-tua yang balik semula ke rumah itu bukannya Mak Yit Bidan tetapi jelmaan hantu bungkus.

Semasa orang-orang kampung mengkebumikan jenazah Latip Pekak, didapati kubur Mak Yot Bidan berlubang kira-kira sebesar lilitan betis. Apabila dijolok oleh Lebai Piut ke dalam, kayu penyolok itu sampai ke bawah. Berbunyi papan liang lahadnya ketika diketuk-ketuk.

________________________________________________


Selepas kematian Latip Pekak tidak lah didengar lagi suara jeritan dari kubur Mak Yot Bidan. Apakah rahsia di sebalik kejadian itu tidak pula diketahui oleh orang-orang kampung. Ketika saya sampai ke kampung ini dapatlah saya mendengar serba sedikit ceritanya dari Judin Bauk.

“Tak tau aku apakah ilmu yang dipakai oleh aruah tu,” jelas Judin Bauk apabila saya tanyakan kepadanya.

“Yang aku tau dia seorang bidan di kampung ni dulu. Agaknya ilmu membidankan orang tentulah ada padanya,” ujarnya bagaikan tergambar lagi kepadanya peristiwa yang berlaku.

“Sudah selesai semuanya, tak payahlah kita sebut-sebut lagi,” Lebai Piut mencelah.

“Perkara dah berlalu, biarlah orang-orang masih hidup jadikan tauladan tentang petunjuk-petunjuk sedemikian dari Allah...” katanya perlahan.

“Benar kata Aki tu....” saya tersengih-sengih memerhatikan dia.

“Tapi baik juga kita mengetahui latar belakang mengapa kejadian itu berlaku. Dari sini bolehlah jadikan tauladan kepada masyarakat kita. Sebab petunjuk dari Allah itu supaya kita semua insaf,” keinginan saya masih membara mahu mengetahui latar belakang kejadian yangmenimpa diri aruah mak Yot Bidan itu.

Saya memahami maksud Lebai Piut itu. Dia tidak mahu cerita mengenai kubur berasap itu dipanjang-panjangkan. Tidaklah mengherankan kepada saya mengenai Lebai Piut itu. Dia memang bekas murid aruah Tok Aki saya. Oleh itu saya cam betul akan tabiatnya seakan-akan mirip dengan aruah Tok Aki saya.

Sebenarnya saya datang ke kampung terssebut semata-mata mahu menziarahi Lebai Piut. Tetapi secara kebetulan cerita mengenai kubur berasap itu masih menjadai buat mulut orang-orang kampung itu, sengajalah saya tanyakan kepada Judin Bauk.

Ketika saya ke Merlimau di Melaka pun ada juga cerita mengenai kisah-kisah yang serupa dengan kejadian di kubur Mak Yot Bidan ini. Kawan saya Ali Burn yang ceritakan kepada saya.

Tetapi saya tidak ambil peduli dengan cerita Ali Burn ini, fasal kadang-kala ceritanya bercampur temberang sedikit.

Kira-kira dalam bulan Jun 1982, Ali Burntelah mengajak saya berjumpa dengan seorang lelaki tua di Felda dekat Johor. Lelaki ini tinggal bersama anak perempuannya di situ. Tetapi dia bukanlah berasal dari Merlimau iaitu kampung Ali Burn. Bagaimanapun menantu Pak Uduh ini memang berasal dari Merlimau.

Pak Uduh sudah berumur 80 tahun. Dia kelihatan sudah uzur kerana penyakit. Matanya pun sudah rabun dan suaranya pun tidak berapa jelas bila bercakap. Tetapi bila Ali Burn datang dia terlalu gembira. Memang Ali Burn selalu datang ke situ menemui Rahman menantu Pak Uduh.

“Lama kau tak datang ke sini?” Tanya Pak Uduh semasa Ali Burn memperkenalkan saya kepadanya.

“Kalau aku selalu datang nanti Pak Uduh bosan” Ali Burn bergurau dengannya. “Lagi oun Pak Uduh nak simpan-simpan sangat, kalau ada apa-pa tu bagilah pada orang muda,” tambahnya sambil duduk rapat dengan orang tua itu.

“Apa yang kau hendak dengan aku, orang tua tak berguna,” sahut Pak Uduh tersengih-sengih.

“Orang tua tak bergunalah selalunya ada isi....” kata Ali Burn memaut bahu orang tua itu. “Kemenyan sebesar lutut jkalau tak dibakar tak berbau Pak Uduh,” dia menepuk bahu Pak Uduh.

Orang tua itu tersenyum. Dia tahu Ali Burn hanya bergurau. Kedatangan Ali Burn menemui juga memang mempunyai tujuan, Saya juga tahu Ali Burn datang menemui Pak Uduh kerana mahu mencungkil-cungkil rahsia ilmu kebatinan orang tua itu. Memang menjadi kelaziman orang tua-tua seperti Pak Uduh itu tidak akan menurunkan ilmunya kepada orang-orang yang tidak boleh diharapkan.

Maksud orang yang tidak boleh diharap ialah mereka yang tidak bersungguh melain sekadar mahu menguji-ngji atau tidak sepenuh hati. Sebab itulah Pak Uduh sering mengelak-gelak bila Ali Burn cuba mendapatkan sesuatu ilmu kebatinan darinya.

Selepas itu Ali Burn memperkenalkan saya pada Pak Uduh. Memang saya sendiri berhajat mahu bertemu dengannya setelah Ali Burn menceritakan serba sedikit mengenai diri orang tua itu kepada saya.

“Jabat tangan tadi aku tau dah, jabat tangan orang berisi...” kata Pak Uduh tersengih-sengih merenung saya. Mungkin kerana matanya yang rabun dia terpaksa merenung saya tepat-tepat.

“Adalah isinya Pak Uduh,” sahut Ali Burn pantas. “Kalau tak ada is kosonglah semuanya, baru jadi hantu penanggal, semua tali perut habis terkeluar ditarik kelapa..” katanya ketawa terkekeh-kekeh.

Pak Uduh juga ketawa. Saya juga ikut sama ketawa. Geli juga dengan kata-kata Ali Burn itu. Sebab itulah kawan-kawan kami gelar dia Ali Burn temberang, kerana ada saja ceritanya mahu memanaskan suasana dengan gelak ketawa.

“Ialah, tahi pun isi juga namanya,” balas Pak Uduh dihung ketawanya. “Tetapi berisi dengan tahi tak sama dengan ilmu...” ujarnya macam menyindir.

Dari Pak Uduh inilah saya mendapat cerita mengenai kisah Naesah Lawa yang kuburnya berasap seperti yang diceritakan Ali Burn sebelum itu. Kampung Pak Uduh memang di Melaka, tetapi bukanlah dari Merlimau. Naesah Lawa itu seorang janda muda yang mudah memikat pemuda-pemuda. Antara yang jatuh hati pada Naesah Lawa ialah Pak Uduh sendiri.

Akhirnya Naesah berkahwin juga dengan Pak Uduh, tetapi mereka tidak mempunyai anak. Ketika berkawin dengan Pak Uduh, Naesah Lawa sudah dua kali bersuami. Sebagai orang yang warak, Pak Uduh selalu menghabiskan masanya di surau menunaikan ibadat, disamping belajar agama dari guru-guru agama yang diundang khas.

Naesah Lawa pula dalam diam-diam berkenalan dengan seorang anak muda yang lain pula. Perhubungannya dengan anak muda, sati hari telah terserempak dengan emak Pak Uduh. Apa lagi, perkara itu terus diberitahu kepada Pak Uduh. Tetapi Pak Uduh tidak terus terburu-buru. Dia meminta emaknya bersabar dulu, kerana dia belum melihat dengan matanya sendiri akan perbuatan isterinya itu.

Sejak itu emak Pak Uduh mula tidak senang dengan sikap Naesah Lawa. Malah dia menuduh Naesah Lawa sudah menggunakan ubat pengasih menyebabkan Pak Uduh tunduk mengikut perintahnya.

Sebenarnya Pak Uduh bkanlah terkena ilmu guna-guna atau ubat pengasih. Dia seorang yang taat kepada perintah agama. Sebab itulah dia masih boleh bersabar mendengar aduan dari emaknya sendiriterhadap kecurangan isterinya itu.Tetapi emaknya tetap berkeras menyalahkan Pak Uduh.

Tidak lama kemudian emak Pak Uduh jatuh sakit muntah-muntah drah. Ada bomoh mengatakan dia terkena santau. Sebaliknya apabila dibawa ke hospital, pihak hospital mengatakan dia terkena penyakit batuk kering. Hospital pula mengesyurkan supaya dihantar untuk mendapat rawatan lanjut di Kuala Lumpur.

Bagaimana pun emak Pak Uduh tidak mahu berubat di hospital. Akhirnya dia mati kerana mengidap penyakit batuk darah. Samaada dakwaan bomoh yang mengubatnya benar atau tidak, Pak Uduh juga tidakmahu mempercayai sangat.Tetapi Pak Uduh sendiri sudah mencubanya sendiri mengubat emaknya dengan membacakan ayat-ayat Quran seperti yang dipelajarinya

Setiap kali dia memberi emaknya minum air yang sudah dibacakan Yassin, emaknya muntah-muntah darah. Di dalam darah beku itu terdapat beberpa helai rambut. Malangnya, Pak Uduh sudah terlambut mahu mengubat emaknya. Orang tua itu meninggal dunia sebelum sempat Pak Uduh mengubatnya lebih mendalam.

Disebabkan terpengaruh juga dengan dakwaan bomoh mengenai emaknya yang termakan santau itu, Pak Uduh telah mengerjakan sembahyang sunat tahjud 44 malam agar orang yang menganiaya emaknya bertaubat. Dia tidak berharap untuk bertemu dengan orang yang menganiaya itu, kerana gurunya berpesan supaya tidak berbuat demikian. Hanya yang diajarkan oleh gurunya memohon doa agar orang yang menganiaya itu bertaubat kepada Allah.

Tidak sampai 44 malam Pak Uduh melakukan sembahyang sunat tahjudnya, tiba-tiba Naesah Lawa isterinya jatuh sakit. Dia meracau-racau dan menjerit-jerit sepanjang malam. Dia menuduh emak mertuanya sengaja membuat fitnah mengenai hubungan sulitnya dengan seorang pemuda.

Disebabkan tidak tertahan dengan peristiwa emaknya baru saja meninggal dunia, kemudian isterinya mula jatuh sakit meracau-racau, maka Pak Uduh terpaksa minta tolong kepada gurunya To' Kiyai Parjo dari Johor.

"Mengapa tak diubat sendiri?" tanya To' Kiyai Parjo apabila Pak Uduh menceritakan masalahnya.

"Hati saya tak tenteram To' Kiyai, tak dapat nak khusyuk..." dia menjelaskan dalam perasaan bimbang.

"Kalau begitu kau tak tahan diuji" sahut To' Kiyai Parjo mengingatkan. "Tak tenteram bererti kau tak sabar, kalau mau cari kemenangan mesti sabar. Mesti tenteram, barulah kau dapat menggunakan ilmu kau" ujarnya macam kesal dengan sikap Pak Uduh.

Tetapi Pak Uduh tidak pedulikan lagi mengenai kata-kata gurunya. Yang penting dia mesti selamatkan isterinya Naesah Lawa. Dia tidak sanggup kehilangan isteri, setelah kehilangan emaknya.

"Sekarang, aku mahu kau sendiri mengubatnya" tegas To' Kiyai Parjo memberi isyarat.

Pak Uduh memahami isyarat itu. Dia mesti ditidurkan oleh To' Kiyai Parjo untuk melihat sendiri penyakit isterinya. Dengan cara itu barulah dia dapat mengubat mengikut cara yang diajar oleh To' Kiyai Parjo.

Ketika ditidurkan oleh To' Kiyai Parjo, Pak Uduh merasa dirinya keluar dari jasadnya. Dia terapung-apung di awangan menurut perintah To' Kiyai Parjo. Apabila disuruh melihat tubuh isterinya Naesah Lawa, dia nampak Naesah Lawa terbaring dengan seluruh tubuhnya berlubang-lubang. Kelihatan nanah dan darah keluar dari lubang-lubang sebesar guli itu.

"Apa yang kau nampak?" dia terdengar suara To' Kiyai Parjo sayup-sayup dari jauh.

"Berlubang-lubang badannya. Ada darah dan nanah keluar" Pak Uduh memberitahu apa yang dilihatnya.

"Bacakan ayat ini dan hembuskan ke situ" perintah To' Kiyai Parjo.

Dia membacakan tiga kali ayat yang diajarkan oleh To' Kiyai Parjo, kemudian dihembuskan ke tubuh Naesah Lawa. Sebaik saja dihembuskan seluruh tubuh Naesah Lawa menjadi hancur. Ketika ini Pak Uduh merasakan sekelilingnya bagai dilanda ribut kencang, hingga dia juga hampir-hamoir diterbangkan.

"Mengapa?" soal To' Kiyai Parjo.

"Ribut kencang..." jelasnya cemas.

"Bacakan doa ini" kata To' Kiyai Parjo memberi panduan.

Sebaik dibacakan ribut kencang tiba-tiba berhenti. Dia tidak nampak lagi tubuh Naesah Lawa, tetapi kelihatan seorang lelaki berjubah putih dengan janggutnya juga putih sampai ke pusat. Dia memberitahu apa yang dilihatnya kepada To' Kiyai Parjo.

Tetapi apabila dia membacakan ayat yang diperintahkan oleh To' Kiyai Parjo, lelaki berjubah putih itu tersenyum lalu memberi salam. Ketika ini Pak Uduh sudah tidak mendengar lagi suara To' Kiyai Parjo yang sayup-sayup tadi. Dia merasa begitu jauh terasing.

Pak Uduh menyahut salam lelaki berjubah itu.

"Kenapa kau nak tolong orang yang akan mati?" lelaki berjubah itu bertanya.

"Mati hanya ditentukan oleh Allah....." sahut Pak Uduh keras.

"Kau orang berilmu" ujar lelaki berkenaan macam menyindir. "Tetapi tidak mendalami ilmu kau. Ilmu Allah luas dan kau tak akan jemu-jemu mempelajarinya" kata lelaki berjubah putih itu lagi.

Pak Uduh dapat mengagak bahawa lelaki berjubah putih di depannya bukanlah syaitan. Kerana syaitan tidak akan berani menyebut ayat-ayat Allah. Bagaimanapun dia tidak berani bertanya siapakah lelaki berkenaan. Apa lagi dia tidak dapat lagi berhubungan dengan To' Kiyai Parjo.

"Sekarang, baliklah kau" lelaki berjubah putih itu memerintahkan dia meninggalkan tempat itu.

"Tidak......aku mahu selamatkan isteri aku!" tegas Pak Uduh.

"Isteri seorang mukmin ialah perempuan yang mempunyai cukup syarat di sisi Allah" suara orang tua berjubah putih itu keras.

"Apakah kau mau seorang isteri yang dilaknati di sisi Allah" jelas orang tua itu lagi.

"Kau setan, memang pendusta" sahut Pak Uduh menahan kemarahan yang mula membakar hatinya. Dia cuba mengharapkan To' Kiyai Parjo segera menyeru namanya, tetapi sia-sia belaka.

Astaghafarullah-alazzim......" keluh lelaki tua itu menyesali sikap Pak Uduh. "Jangan kau jadikan yang hak itu batil, dan yang batil itu hak," katanya mengingatkan.

"Jadi kau siapa?" Pak Uduh masih mendongkol.

"Orang berilmu mesti banyak bersabar" orang tua berjubah putih itu menasihati dia. "Aku tau To' Kiyai Parjo, aku juga tau tentang kau. Bukankah kau telah menunaikan Sunat Tahajud selama 44 malam?" katanya mengingatkan Pak Uduh.

"Iya....." angguk Pak Uduh.

"Kau sudah memohon pada Allah tunjukkan kebenaran?" tanyanya lagi.

Pak Uduh angguk.

"Sekarang itulah kebenaran!" tegas orang tua berjubah putih itu lagi. "Aku guru pada To' Kiyai Parjo, dan aku bukan syaitan yang mahu mempengaruhi kau. Mari ke mari......." dia menghulurkan tangannya.

Cepat-cepat Pak Uduh memeluknya. Terbau padanya sekelilingnya harum semerbak yang belum pernah diciumnya selama itu. Sekaligus air mata Pak Uduh menitis.

"Maafkan saya To' Wali" Pak Uduh menangis terisak-isak.

"Sudahlah Uduh.." dia memujuk sambil mengusap-ngusap kepala Pak Uduh. "Naesah yang memberi emak kau racun santau, kerana emak kau terserempak akan perbuatan curangnya terhadap kau. Sekarang baliklah kau" katanya meninggalkan Pak Uduh.

Barulah Pak Uduh dapat mendengar suara bisikan To' Kiyai Parjo. Bagaimanapun Pak Uduh meminta untuk balik segera masuk ke tubuhnya. Tidak lama kemudian dia membuka mata, dan dilihatnya Naesah Lawa masih terlentang menderita sakit.

"Saya fikir tak payahlah kita ubatkan lagi Naesah ni To' Kiyai....." bisik Pak Uduh.

To' Kiyai Parjo tersenyum. Dia sudah tahu apakah yang tersirat di hati Pak Uduh. Malah pertemuan Pak Uduh dengan arwah gurunya itu juga sudah difahami oleh To' Kiyai Parjo.

"Kalau kau dah kata begitu, terpulanglah" ujar To' Kiyai Parjo perlahan.

Tiga hari selepas itu pun perut Naesah Lawa menjadi buncit. Lama kelamaan menjadi busung hingga kulit perutnya mengening-ngening. Apa yang dilihat oleh Pak Uduh melalui makrifatnya jelas telah berlaku ke atas Naesah Lawa. Seminggu selepas perutnya menjadi busung Naesah Lawa pun meninggal dunia.

Pada senja waktu maghrib hari dikebumikannya itulah Pak Uduh mendengar jeritan nyaring dari tanah perkuburan. Jeritan itu juga didengar oleh orang-orang kampung. Selepas menunaikan fardhu maghrib Pak Uduh bersama adik iparnya (iaitu adik lelaki Naesah Lawa) bernama Selamat telah pergi ke tanah perkuburan.

Jeritan itu memang jelas seakan-akan suara Naesah Lawa. Sebab itulah dia mengajak Selamat ikut sama melihatnya. Memang betul jeritan itu datangnya dari kubur Naesah Lawa. Ketika mereka berdua sampai rintihan dan ngongoian Naesah Lawa begitu jelas dan menusuk perasaan.

Dari kubur itu kelihatan asap berkepul naik. Air mata Pak Uduh menitik melihat peristiwa yang menimpa ke atas kubur isterinya. Kalaulah emaknya masih hidup bolehlah dia melutut meminta ampun kepada emaknya bagi pihak Naesah Lawa. Tetapi semuanya telah berlalu, dia hanya dapat berdoa meminta pertolongan Allah supaya mengampunkan Naesah Lawa.

"Mat...." kata Pak Uduh sayu. "Kakak kau terseksa. Kau balik dan beritahu To' Kiyai Parjo. Biar abang tunggu di sini buat apa yang patut" bisiknya tersedu sedan.

Kesedihan yang menusuk di jiwanya bukanlah kerana kematian isterinya, tetapi penderitaan yang ditanggung oleh isterinya setelah disemadikan di dalam kubur. Kalaulah benar Naesah Lawa membuat perhubungan dengan lelaki lain dia boleh melupakan saja segalanya. Dia sedia mengampunkan dosa Naesah Lawa terhadapnya.

Tetapi perbuatan Naesah Lawa tergamak memberikan emaknya makan racun santau itu, hanya emaknya sajalah yang boleh mengampunkan.

"Baliklah Mat, minta bantuan dari orang kampung" katanya lagi menahan kesedihan.

"Baiklah bang" sahut Selamat perlahan. "Macam mana pun abang sabarlah. Apa nak buat dah nasib dia..." Selamat cuba mententeramkan perasaan Pak Uduh.

Selamat terus balik ke rumah Pak Uduh, kerana di sana orang sudah berkumpul untuk mengadakan kenduri aruah. To' Kiyai Parjo juga ada menunggu di rumah Pak Uduh. Segala kejadian yang dilihatnya di kubur kakaknya diberitahu oleh Selamat kepada mereka yang ada di situ.

"Abang Uduh minta To' Kiyai ke sana" jelas Selamat.

Beberapa orang yang ada di atas rumah turun ke bawah. Mereka bersama-sama To' Kiyai Parjo mengikut Selamat menuju ke kubur Naesah Lawa. Apabila sampai di kubur mereka dapati Pak Uduh sedang membacakan Surah Yassin dengan tenang. Bunyi jeritan juga mula mengendur.

Kepul asap juga sudah mula berkurangan. Tetapi keadaan demikian sementara saja. Selepas itu asap dari kubur semakin menebal dan jeritan suara meminta tolong semakin kuat. Sekali-sekala keluar api dari celah-celah kepulan asap itu.

Semakin kuat bacaan Surah Yassin dibacakan, semakin kedengaran jeritan nyaring tidak ketahuan.

"Begini Uduh...." To' Kiyai Parjo menepuk bahu Pak Uduh.

"Kalau kau izinkan kita galikan semula kubur Naesah ni, kita mandikan dia dengan air Yassin" ujarnya menahan kesedihan yang menusuk-nusuk.

Pak Uduh hanya mengangguk. Lidahnya sudah tidak terucapkan apa-apa lagi.

"Kalau begitu kau Selamat, bawalah kawan-kawan" To' Kiyai Parjo berpaling pada Selamat. "Bawa cangkul, bawa lampu gaslin dan bawa air segeluk" perintahnya.

Selamat tidak menyahut. Dia terus mengajak beberapa orang pemuda balik semula mengambil barang-barang yang dipesan oleh To' Kiyai Parjo. Sementara bahang panas dari kubur Naesah Lawa sudah dirasakan oleh Pak Uduh. Bagaimanapun dia tidak undur dari menahan panas yang semakin membahang itu.

To' Kiyai Parjo membacakan sesuatu doa sambil menghembuskan ke kubur Naesah Lawa. Lama To' Kiyai Parjo berdoa barulah terasa bahang panas itu terasa berkurangan. Pak Uduh juga ikut sama berdoa seperti yang pernah diajarkan oleh To' Kiyai Parjo kepadanya.

Tidak lama kemudian Selamat bersama dua tiga orang pemuda tadi datang membawa cangkul dan lampu gaslin. Air sejuk di dalam jag diberikannya kepada To' Kiyai Parjo.

Setelah diperintahkan gali oleh To' Kiyai Parjo mereka pun sama-sama menggali semula kubur tersebut. To' Kiyai Parjo mahu memandikan saja jenazah yang sudah dikebumikan itu dengan air yang sudah dibacakan Surah Yassin. Ketika menggalinya Selamat merungut-rungut juga kerana terasa panas. Tetapi To' Kiyai Parjo menasihatkan supaya tidak disebut-sebutkan perkara bahang panas itu.

Setelah digali semula Selamat cuba membuka papan yang menutup liang lahad, tiba-tiba dia terkejut dan cepat-cepat melompat ke atas. Mukanya jadi pucat ketakutan.

"Kenapa Mat...?" tanya Pak Uduh.

Selamat tidak menjawab. Dia terkaku tidak boleh bercakap apa-apa. Untuk mempastikan keadaan sebenarnya mereka mendekatkan lampu gaslin ke tebing kubur. Pak Uduh sendiri membukakan papan dinding liang lahad tersebut. Sebaik saja papan dinding itu ditarik ke atas mereka dapat melihat ular-ular bisa berkumpul di dalam liang tersebut membelit jenazah Naesah Lawa yang baru saja dikebumikan siang tadinya.

Dari mana datangnya ular-ular tersebut?

"Hanya Allah Yang Maha Mengetahui" kata To' Kiyai Parjo bila melihat kejadian tersebut.

Tentulah mustahil terdapat ular di dalam kubur yang baru saja dikorek dan baru saja dikambus semula. Mustahil jua ada sarang ular di situ. Kalau mahu dikira ular bersarang di situ, bagaimana pula dengan api dan asap yang kelihatan di atas kubur tersebut.

Anehnya apabila sudah digali tidak ada langsung kesan asap atau api di situ.

"Jangan difikirkan sangat" To' Kiyai Parjo menasihatkan mereka yang terpegun melihat kejadian tersebut. "Pengetahuan Allah meliputi tujuh petala bumi tujuh petala langit. Kita yang hidup ini insaflah........" jelasnya dengan linangan air mata, bukan kerana kesedihan tetapi gementarnya kepada Allah.

Kemudian dia menyiramkan air sejuk di dalam jag yang sudah dibacakan Yassin ke tubuh Naesah yang dibelit ular-ular bisa itu. Setelah disiram air tersebut ular-ular berkenaan lari menyusup di dalam lubang liang lahad dan hilang entah ke mana. To' Kiyai Parjo turun ke dalam kubur lalu mengepal tanah tiga kepal. Dia berdoa sambil menghembuskan kepada kepalan tanah itu.

Dengan tidak menghiraukan sesiapa dia terus meletakkan tanah yang dikepal tadi ke kepala mayat. Setelah semuanya selesai To' Kiyai Parjo memerintahkan supaya dikambus semula. Hari berikutnya tidak

ada lagi kedengaran jeritan dari kubur Naesah Lawa. Sementara di rumahnya Pak Uduh membaca Yassin setiap malam seperti yang diingatkan oleh To' Kiyai Parjo.

Jadi, bila teringatkan pertemuan saya dengan Pak Uduh bersama Ali Burn, saya merasakan ada sesuatu yang mesti telah berlaku menyebabkan kubur Mat Yot Bidan itu jadi demikian. Tetapi disebabkan Lebai Piut tidak mahu diungkit-ungkit lagi maka saya pun tidaklah mahu bertanyakan lagi pada Judin Bauk.

Bagaimanapun setelah Judin Bauk balik ke rumah barulah Lebai Piut mahu menerangkan kepada saya kisah sebenarnya mengapa kubur Mak Yot Bidan boleh jadi begitu.

"Bukan kerana ilmu sesat yang dituntut" kata Lebai Piut serba salah mahu menceritakan kepada saya. Tetapi dosa kepada sesama makhluk, inilah yang berat hendak kita tanggung" jelasnya mengeluh pendek.

"Tak ada dia menuntut ilmu sesat?" tanya saya.

"Wallahhu'alam..." dia tersengih-sengih bagaikan soalan itu mencuit hatinya. "Tetapi Yot tu berkehendakkan Latip Pekak semasa dalam tangan suaminya lagi, iaitu aruah abang haji" katanya lagi.

"Ohhh, begitu..." saya terangguk-angguk mendengarkannya.

Aruah abang haji yang disebutkan oleh Lebai Piut itu ialah abangnya sendiri Haji Suri. Saya juga mendengar berita kematian aruah Haji Suri akibat termakan racun. Heran juga saya ketika itu, kerana orang seperti dia masih ada juga orang sakit hati hingga tergamak memberi racun.

Setahu saya aruah Haji Suri itu memang warak. Dia tidak pernah ambil tahu masalah peribadi orang lain. Malah dia akan bercakap kalau ada perkara-perkara yang ditanyakan kepadanya saja. Bagaimana orang seperti dia masih ada orang yang sakit hati terhadapnya. Kalau setakat hati pun tak apa juga, tetapi tergamak pula memberikan racun.

"Yot yang memberinya racun....." tiba-tiba isteri Lebai Piut mencelah.

"Hisss, awak tu diam" Lebai Piut berpaling kepada isterinya yang baru saja sampai menatang dulang air ke depan kami. "Mana awak tahu Yot yang racun, awak nampak?" katanya perlahan, tetapi jelas dia tidak senang dengan sikap isterinya membuat tuduhan itu.

"Ramai orang cakap...." jelas Mak Ton tegas.

"Cakap orang cuma syak wasangka saja. Allah saja Yang Maha Mengetahui" ujar Lebai Piut kesal dengan keterlanjuran isterinya itu.

Memang Lebai Piut tidak mahu menerangkan lebih lanjut perkara sebenarnya. Tetapi esoknya apabila saya tanyakan kepada Judin Bauk mengenai cerita kematian aruah Haji Suri itu, memang dia juga pernah mendengar khabar angin kononnya kematian aruah Haji Suri itu akibat diracun oleh Mak Yot Bidan.

Habis saja edah selepas kematian aruah Haji Suri itu, Mak Yot Bidan pun terus berkahwin dengan Latip Pekak. Bagaimanapun orang-orang kampung tidak dapat ceritanya yang sahih, selain dari khabar-khabar angin. Kalau ada pun mereka yang tahu tidak ada siapa pula yang berani bercakap terus terang. Maklum sajalah Mak Yot Bidan itu merupakan bidan di dalam kampung. Masing-masing memerlukan pertolongan Mak Yot Bidan bila tiba waktunya

No comments: