Kalau anda sudah memiliki teman lelaki, anda perlu mengamati ciri-ciri lelaki tersebut. Kadangkala lelaki itu sangat menarik, namun sesungguhnya menyimpan bahaya tersembunyi. Indah di luar, namun tanpa disedari dia kerap melukai hati anda.Keganasan si dia tidak nampak kerana dibaluti dengan sikap yang kelihatannya baik. Sebaiknya, sebelum anda menyesal, lebih baik mengetahui terlebih dahulu tentang perangai mereka. Ikuti beberapa tips di bawah ini.
- - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - -
Lelaki Posesif
Lelaki ini kelihatan begitu menyayangi anda. Dia tidak ingin jauh daripada anda. Bahkan, rela menghantar anda walau ke manapun anda hendak pergi. Tapi, jangan cuba-cuba melepaskan diri daripada si dia. Mungkin anda beranggapan bahawa si dia amat sayang kepada anda, sehingga menjadi seorang yang kuat cemburu. Sebenarnya anda sedang terjebak dalam penjara cintanya. Dia menganggap anda cuma barang miliknya yang harus berada dalam genggamannya.
Tanda-tanda lelaki posesif adalah seperti berikut:
a. Kalau anda mahu mengikut sesuatu aktiviti, anda harus meminta izin terlebih dahulu. Si dia tidak membenarkan anda menghabiskan masa dengan teman-teman sebaliknya menyuruh anda menghabiskan sepanjang masa dengannya. Si dia pasti akan marah kalau anda menolak permintaannya.
b. Si dia selalu curiga kalau anda keluar bersama lelaki lain atau teman sepejabat anda walaupun bersama rakan-rakan sepejabat yang lain. Malah si dia selalu mengawasi kegiatan anda. Termasuk sering bertanya tentang cinta anda kepadanya.
c. Si dia juga sering menuntut dan memaksa anda menurut kehendaknya. Si dia mungkin bersikap manis setelah mengamuk kerana anda menolak permintaannya dan dia sering mengatakan tidak boleh hidup tanpa anda dan takut kehilangan anda.
d. Hubungan anda dengan rakan-rakan mungkin terbatas setelah mengenalinya. Lama-kelamaan kehidupan anda makin sepi. Anda mungkin akan kehilangan sosialisasi dengan orang lain. Potensi diri anda susah berkembang dengan wajar.
Lelaki Kasar
Lelaki jenis ini suka memaksa. Anda berasa seolah-olah ada kelembutan dalam dirinya. Dia suka bertindak mengikut perasaan. Selain memaksa, si dia seorang yang ego sehingga anda rasa terkongkong. Mungkin dia bertindak seperti menunjukkan kekuatannya. Tapi, sebenarnya kelakuan ini muncul kerana dia merasa tidak aman.
Gayanya seperti lelaki yang sopan dan baik. Dia sering menyalahkan orang lain di depan umum. Lagaknya seperti jagoan.
Kalau diperhatikan, dia suka merayu. Pada mulanya dia memujuk dengan lemah lembut, kemudian berteriak, membaling barang dan menumbuk tembok. Dia suka menuduh anda dengan tuduhan yang tidak beralasan. Bahayanya, biasanya dia bersumpah tidak akan melukai hati anda lagi. Mengaku sudah sedar. Tapi, dia tidak pernah berubah, jika sudah mulai memukul, kemungkinan besar ia akan mengulanginya lagi.
Lelaki Egois
Lelaki jenis ini lebih mementingkan diri sendiri. Si dia nampak baik dan suka membantu. Padahal si dia suka kalau dapat mengatur anda, dan menunjukkan dia berkuasa ke atas anda. Anda harus melakukan apa saja untuk menyenangkan dirinya atau hatinya. Si dia juga suka membeli anda hadiah.
Kelihatannya romantis, motifnya untuk membuktikan bahawa hubungan anda menyenangkan dan ideal. Dia tidak pernah mempedulikan pendapat orang lain, termasuk anda. Selalu berasa benar dalam segala hal. Suka merendah-rendahkan pasangannya. Kalau prestasi anda lebih tinggi, dia akan marah. Dia ingin membuat anda lemah dan selalu bergantung padanya.
Di samping itu, dia tidak pernah mengambil peduli perasaan anda, yang penting dia gembira. Si dia juga sering mengucapkan kata-kata seperti kalau you benar-benar sayangkan I, you mesti… Anda mungkin kehilangan penghargaan terhadap diri anda sendiri kerana si dia mengatakan, anda tidak dapat hidup tanpanya. Si dia mungkin tidak segan-segan memukul anda.
Lelaki Miang Dan Mata Keranjang
Lagaknya seperti seorang lelaki yang berperwatakan liar. Pandangannya luar biasa kerana yang diminati hanya tubuh anda. Anda mungkin tidak selesa dan berasa janggal jika selalu dipandang. Si dia tidak dapat menyembunyikan dorongan seksualnya. Mungkin dia terpengaruh dengan filem dan bacaan porno atau pergaulan dengan rakan-rakan. Jadi, dia mempunyai fikiran kotor.
Tanda-tandanya adalah seperti pegangan tangan dengan penuh bernafsu seperti ingin bermesra dengan anda. Rayuannya maut. Lelaki jenis ini suka wanita yang bertubuh cantik dan menggiurkan. Dia juga suka memberitahu anda bahawa bahawa ramai wanita tertarik dengannya dan dia tidak segan mengatakan, betapa beruntungnya anda memiliki dirinya.
Bahayanya, lelaki jenis ini tidak mencintai anda sebaliknya dia hanya mencintai seks dan hanya suka dengan tubuh anda. Setelah puas, anda akan ditinggalkan begitu saja. Demi memenuhi keinginannya, dia akan berusaha membuat anda lemah. Akhirnya, seolah-olah hanya dia yang mampu membuat anda berasa dicintai. Anda mungkin tertipu atau lebih buruk lagi anda mungkin kehilangan milik anda yang paling berharga. Anda harus berhati-hati menghadapi si dia yang mempunyai sikap seperti ini.
No comments:
Post a Comment