KEJAYAAN konsert Double Trouble yang menggabungkan dua gergasi rock, Search dan Wings di Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada Mei lalu masih lagi segar dalam ingatan para peminat.
Konsert tersebut bukan sahaja berjaya menghimpunkan 20,000 peminat, malah lebih 3,000 lagi terpaksa berputih mata gara-gara gagal mendapatkan tiket.
Lain pula kisahnya pada konsert edisi ke-2 yang berlangsung di Stadium Larkin, Johor Bahru malam Sabtu lalu apabila ia 'disabotaj' oleh pihak tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan menjual tiket palsu.
Beberapa orang peminat yang menjadi mangsa tiket palsu itu hanya menyedari mereka ditipu apabila tiket yang dibeli dengan harga sama itu tidak dapat disahkan oleh mesin pengimbas tatkala memasuki pintu utama stadium berkenaan.
Keadaan menjadi sedikit tegang dan kecoh di pintu masuk apabila peminat yang ditipu menyuarakan rasa tidak puas hati.
Difahamkan, para petugas keselamatan yang menyiasat perkara tersebut berjaya merampas tiket palsu daripada seorang lelaki yang menjual tiket berkenaan di ruang legar pintu masuk stadium.
Mahu tidak mahu, peminat yang tetap ingin menyaksikan konsert tersebut terpaksa membeli tiket yang baru di kaunter.
Vokalis Search, Amy, dan Wings, Awie ketika ditemui pemberita selepas tamat konsert tersebut kesal dengan insiden yang berlaku itu.
Menurut Awie, perkara tersebut seharusnya tidak berlaku kerana kaunter tiket telah disediakan oleh pihak penganjur untuk peminat membeli tiket.
“Saya amat kesal dengan perkara ini kerana peminat yang datang sememangnya ingin menyaksikan konsert pada malam ini.
“Saya berharap perkara ini tidak akan berulang lagi pada masa-masa akan datang. Buat mereka yang menjual tiket palsu itu bertaubatlah,'' katanya.
Katanya lagi, pihak yang tidak bertanggungjawab menjual tiket palsu itu diibaratkan sebagai menganiaya industri hiburan dan peminat dan hanya mementingkan keuntungan semata-mata.
“Bagi pihak penganjur, ini merupakan satu kesalahan yang begitu besar. Keringat kami bagaikan sia-sia sahaja,'' ujarnya.
Bagaimanapun, insiden tersebut tidak menjejaskan persembahan bertenaga dua 'otai' rock yang bersatu di atas pentas yang sama sepanjang kira-kira tiga jam persembahan bermula pukul 9.15 malam itu berlangsung.
Dengan kebanjiran 15,000 penonton termasuk yang datang dari Singapura, hampir setengah padang bola sepak dipenuhi dengan peminat yang tidak berganjak dari awal hingga ke penghujung persembahan.
Bermula dengan paduan suara menerusia lagu Gemuruh, Amy dan Awie terus membuai penonton dengan seleksi lagu malar segar mereka antaranya Sejati, Alam Barzakh, Isi Atau Kulit, Isabella, Pawana, Pelesit Kota, Mentari Merah Di Ufuk Timur, Ranggi Metropolis dan banyak lagi.
Oleh AZIZI MAJID
Gambar NASIRRUDDIN YAZID dan BAAZLAN IBRAHIM
No comments:
Post a Comment