Wednesday, February 19, 2014

ALEXANDER THE GREAT ADALAH ZULKARNAIN


ALEXANDER THE GREAT ADALAH ZULKARNAIN 

Ketika zaman rasulullah, puak jahiliyah Quraisy sentiasa mencari-cari jalan untuk menjatuhkan kredibiliti Rasulullah sebagai seorang nabi akhir zaman dan utusan ALLAH. Maka, berangkatlah beberapa orang daripada kalangan mereka untuk berjumpa dengan pendeta yahudi. Mahu dikhabarkan kepada mereka bahawa ada seseorang yang mengaku nabi dan dia perlu diuji oleh pendeta yahudi.

Lalu dikirimkan beberapa soalan untuk Rasulullah S.A.W daripada pendeta yahudi itu dan salah satu daripadanya ialah:"Ceritakan kepada kami tentang seorang penakluk yang menakluk timur dan barat dan tidak terkalahkan." Jika rasulullah berjaya menjawab soalan yang diberikan, maka ternyata rasululah benar-benar rasul.

Maka turunlah ayat Al-Quran pada Surah Al-Kahfi pada ayat 93 - 97 menceritakan kisah seorang penakluk dengan gelaran Zulkarnain yang bermaksud "pemilik antara dua tanduk."




Siapa pemilik antara dua tanduk yang di cerita kan oleh Al-Quran ini? Itu ialah tugas kita untuk mengkaji kitab terhebat sepanjang zaman ini.

Selepas meneliti ayat daripada surah Al-Kahfi, kita boleh merumuskan ciri-ciri Zulkarnain seperti berikut:

-Dekat dengan yahudi
-Beriman
-Beliau tidak terkalahkan
-Beliau pernah bertemu segolongan umat yang tidak dilindungi dari matahari
-Bertemu dengan golongan yang hampir tidak memahami perbicaraan
-Pernah bertemu dan berperang dengan Yakjuj dan Makjuj
-Membina tembok besi yang mengurungi Yakjuj dan Makjuj
-Dekat Dengan Yahudi

Dekat dengan yahudi. Kenapa saya mengatakan bahawa Zulkarnain harus dekat dengan Yahudi? Lupakah kalian siapakah yang mengutuskan pertanyaan mengenai seseorang yang berjaya menawan timur dan barat? Jadi, secara umumnya, kita harus mencari seorang tokoh yang hidup pada zaman dahulu yang dekat dengan tradisi Yahudi.

Oleh kerana itu, kita harus meneliti pemilik-pemilik empayar yang luas pada zaman sebelum kedatangan Rasulullah, dan empayar itu mestilah meliputi dari timur dan barat. Kalau ditelusuri pendapat cendekiawan, pakar sejarah dan agamawan. Ada dua nama yang dibangkitkan iaitu Alexander The Great, pemilik empayar Hebat dari Macedonia, Tamadun Yunani serta Raja Cyrus The Great, pemerintah hebat dari Parsi.

Setelah melakukan penelitian melalui beberapa buah buku, maka saya tampil dengan satu nama iaitu Alexander merupakan Zulkarnain di dalam Al-Quran. Ciri pertama Zulkarnain, dekat dengan tradisi Yahudi, apakah Alexander menepati ciri-ciri itu?

Sebelum itu, mari kita kenal dahulu sumber rujukan yang menjadi sejarawan pada hari ini mengenai Alexander.

-Diodorus Siculus (100 - 30 SM), The History Of The World
-Quintus Curtius Rufus (53 M) Historiarium Alexandri Magni Libiri Qui Supersunt
-Plutarch (46 - 120 M) Life Of Alexander
-Arrian (89 - 180 M)
-Flavius Josephus (80 - 100 M)

Kemudian, kisah Alexander masih tercatat kemas dalam Kitab Talmud yang merupakan kitab yang banyak menceritakan mengenai sejarah Bani Israel. Antara sumber-sumber rujukan itu, karya tulisan Flavius Josephus merupakan sebuah karya yahudi kerana beliau merupakan orang yahudi.

Selain itu, kita juga perlu merujuk Kitab Talmud untuk mengetahui siapakah Alexander pada bangsa Yahudi?

ALEXANDER DAN YAHUDI
Alexander harus menjadi seseorang yang telah banyak berjasa pada bangsa yang telah diturunkan banyak nabi dan rasul di kalangan mereka ini. Mari kita telusuri kronologi sejarah.

Dalam rekod yang dicatatkan oleh Flavius Josephus mengatakan bahawa Alexander telah memasuki Kota Baitulmaqdis untuk memberikan pernghormatan tertinggi kepada pendeta yahudui. Kenapa dan mengapa? Akan diulas nanti.

Dikatakan bahawa Alexander telah menyelamatkan rumah ibadat bangsa yahudi daripada dirobohkan. Seorang pendeta Yahudi yang bernama Simon Hatsadik telah berjumpa secara bersekemuka dengan Alexander dan memeranjatkan ialah seorang pemerintah hebat seperti beliau telah tunduk hormat di hadapan Simon. Mungkin ini ialah sebabnya mengapa kaum Yahudi bertanyakan kepada Rasulullah siapakah yang telah menakluk timur dan barat.

Namun, kalau ditelusuri sumber sejarah yang lain kelihatan seperti Alexander telah singgah di Baitulmaqdis telah dipadam. Hal ini boleh dikatakan dilakukan kerana pada wkatu itu bangsa Yahudi sangat dibenci oleh bangsa luar dan apa sahaja yang mengaitkan mereka dengan Yahudi akan dipadam.

Sama juga pada hari ini di mana Islam dimusuhi kerana kehebatannya. Pasti akan ada yang cuba memadamkan sejarah hidu mereka dengan orang Islam. Sebagai contoh, seorang cina yang memeluk Islam akan dibuang oleh keluarganya dan tidak akan diterima sebagai ahli keluarga.

ALEXANDER SEORANG GAY?
Apakah Alexander seorang yang beriman? Bagaimana pula dengan dakwaan yang mengatakan beliau seorang Homoseksual? Sekali lagi, kita telusuri sejarah. Pertama, kita mesti kenal siapakah yang menulis bahawa Alexander ini seorang gay? Siapakah yang menulis bahawa Alexander ialah gay?

Kita lihat yang menulis mengenai beliau ialah penulis pagan yang berfahaman Yunani malah ada di antara mereka ialah gay. Sudah pasti kisah Alexander diselewengkan oleh mereka mengikut nafsu dan cuba mengatakan bahawa Alexander sefahaman dengan mereka.

Hujah saya ialah lihat sahaja bagaimana Nabi Isa A.S menjadi mangsa mereka. Penulis Yunani yang berfahaman Pagan ini mencipta kisah bahawa Nabi Isa itu tuhan dan mengaitkan baginda dengan kefahaman lampau iaitu trinity.

Sebab itu, saya sarankan kita telusuri sumber dari penulis yang boleh dipastikan keimanannya. Dalam hal ini, kita ambil Flavius Josephus sebagai contoh. Beliau merupakan seorang yahudi yang masih berpegang teguh pada ajaran nabi Musa. Ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Musa masih tersemat dalam kalbu beliau.

Kerana itu kisah Alexander yang dikisahkan olehnya sangat telus dan jujur. Beliau menulis bahawa Alexander berkahwin dengan seorang perempuan yang bernama Roxanna. Siapa itu Roxanna?

Sejarah menceritakan bahawa beliau merupakan puteri kepada Oxyartes of Balkh di Bactria (sebuah kota di wilayah Afghanistan). Dikatakan bahawa Alexander telah jatuh cinta pada pandang pertama ketika memasuki Sodgian Rock dan telah melamar Roxana sebagai isteri.

Hasil perkahwinan Alexander dan Roxna telah melahirkan seorang anak lelaki yang bernama Alexander IV Aegus namun Roxana matio dibunuh oleh janda Alexander iaitu Stateira.

Dalam sejarah Melayu pula, diceritakan bahawa ketika Alexander menawan utara India, beliau telah berjumpa dengan seorang puteri yang bernama Syahrul Bariah dan berkahwin dengan Puteri Syahrul Bariah dan daripada benih Alexander ini, maka lahirnya raja-raja Melayu pada hari ini.

KEIMANAN ALEXANDER
Sebelum kita bercerita mengenai keimanan Alexander, apa kata kita belajar dahulu mengenai kisah-kisah hebat ketika cahaya ilahi mula turun di wilayah Yunani ketika agama menyembah dewa dewi Yunani berleluasa. Allah maha adil dan ALLAH tidak akan meninggalkan sesuatu bangsa tanpa hidayah daripadanya.

Kalian pernah kenal dengan Xenophanes? Beliau ialah seorang ahli falsafah yang menolak kepercayaan kepada banyak tuhan dan berpegang teguh kepada keyakinan bahawa Tuhan itu satu dam bumi ini akan hancur sekiranyua diperintah oleh banyak tuhan.

Kata-kata Xenophanes masih menjadi hujah bahawa beliau telah menemui cahaya keimanan dan mengajak penduduk Athens meninggalkan kepercayaan kepada menyembah TUHAN yang satu.

"Kalau seandainya lembu dan singa mempunyai tangan dan pandai melukis, sudah pasti mereka akan meluklisa dewa-dewa mereka menyerupai mereka. Orang Ethiopia mempunyai dewa yang hitam, orang Thrake mengatakan dewa mereka bermata biru dan berambut merah.

Tuhan itu seharusnya satu dan tidak serupa dengan makhluk insani dan tidak pula berfikiran seperti mereka."

Pythagoras juga telah sampai kepada cahaya monotheisme. Beliau yang merupakan pencipta Pythagoras Teorem yang dipelajari sehingga ke hari ini telah sampai kepada keyakinan bahawa TUHAN itu harus satu.

Socrates ialah satu lagi indan yang akan menjadi bukti terkuat bahawa Alexander itu beriman. Beliau telah dihukum mati dengan cara meminum racun kerana menolak kepercayaan menyembah dewa-dewi dan menyeru penduduk Athens meninggalkan kepercayaan karut itu. Beliau mengatakan bahawa kita harus menyembah TUHAN yang satu.

Pengikut Socrates terdiri dari kalangan anak muda yang kuat dan bijak. Pemerintah Athens takut Socrates akan mengambil tempat mereka dengan ajaran baru.

Dalam kitab sejarah tulisan Plato, Crito. Anak muridnya ini menceritakan dengan terperinci kata-kata Socrates di hadapan para hakim Athens.

"Yakinlah ini ialah perkara yang diperntahkan oleh tuhanku, aku yakin tiada kebaikan yang lebih besar yang pernah kota ini nikmati selain khidmatku kepada Tuhanku."

Apakah Socrates ini merupakan seorang nabi? Mungkin. Sila lihat ayat 47, Surah Yunus. Al-Quran menegaskan bahawa tiada satu bangsa pun yang tidak diturunkan kepada mereka rasul dan nabi. Kita perlu tahu yang bilangan rasul terdapat 313. Tidak mustahil bahawa Socrates ialah rasul yang diturunkan kepada Tamadun Yunani.

Daripada Socrates ini, lahirnya seorang alhli falsafah yang bernama Plato. Daripada Plato, lahirnya Aristotles. Lihat kaitannya di sini, kita semua tahu bahawa Aristotles merupakan guru Alexander. Plato merupakan guru kepada Aristotles dan Socrates merupakan guru kepada Plato. Kalau anda bijak, sila sambungkan rangkaian ini. Sudah pasti ajaran daripada Socrates sampai kepada Alexander.

Sekarang, kita refresh kembali bab permulaan artikel ini. Kaitan antara Alexander dan Yahudi. Penemuan Alexander dengan pendeta yahudi yang bernama Simon. Siapakah Simon? Kita buka kembali buku sejarah. Pada suatu masa, Bani Israel ditimpa dengan satu bala daripada ALLAH, iaitu tiada seorang pun daripada mereka yang mengingati kandungan Kitab Taurat.

Sehinggalah ALLAH membangkitkan Nabi Uzair yang ditidurkan. Baginda telah bertemu dengan Bani Israel dan telah mengajarkan kembali kandungan kitab Taurat di samping menunjukkan beberapa mukjizat baginda. Sebelum baginda meninggal dunia, baginda telah menubuhkan Dewan Agung Sinagog yang fungsinya ialah apabila datangnya nabi terakhir pada akhir zaman, iaitu Muhammad, orang yang mengaku nabi itu harus berdepan dengan Dewan Agung Sinagog bagi membuktikan kenabian yang didakwa.

Tahukah anda bahawa Simon merupakan ketua dewan yang dilantik oleh Nabi Uzair? Dan selepas Simon meninggal, barulah penyelewengan besar-besaran ke atas Kitab Taurat dilakukan oleh bani Israel. Penemuan Alexander dengan pendeta Yahudi ini boleh dikatakan sebagai memperbahrui iman Alexander.

Dikatakan Alexander telah banyak belajar mengenai agama Samawi Yahudi dan telah membina sebuah kota yang bernama Alexandria (Iskandariah) dan membenarkan orang Yahudi tinggal di dalamnya. Ini juga menguatkan lagi hujah mengapa Alexander ialah Zulkarnain yang ditanyakan oleh pendeta Yahudi kepada Nabi Muhammad kerana begitu dekat Alexander dan tradisi Yahudi.

Menghukum Alexander meminum arak ialah satu yang tidak adil. Beliau hidup pada zaman arak hanya diharamkan untuk diminum di dalam rumah ibadat. Alexander tidak pernah mengaku dirinya sebagai tuhan tetapi itu ialah tuduhan tidak berasas yang dilemparkan kepada Alexander.

Buka kembali karya Plutrach mengenai Alexander. Diceritakan ketika bunyi guruh bergema di angkasa, Anaxarchus bertanya kepada Alexander, "Bukankah kau ialah anak kepada Zeus?"

Alexander tersenyum lalu menjawab.

"Aku tidak mahu menjadi sesuatu yang rakan-rakanku akan takutkan."

Penafian Alexander ini jelas membuktikan bahawa Alexander tidak pernah mendakwa bahawa beliau merupakan anak Tuhan tetapi itu ialah cubaan jahat penulis pagan yang cuba mengaitkan Alexander dengan kepercayaan karut mereka.

KESIMPULAN

Pada artikel yang akan datang, saya akan menyambung lagi artikel ini. Kali itu, saya akan cuba mengaitkan kisah Alexander yang melakukan perluasan kuasa dengan kisah yang diceritakan oleh Al-Quran. Pada awalnya saya cuba menjadikan artikel ini dalam satu bahagian sahaja tetapi saya tidak mampu. Hujahnya terlalu panjang.

Apa-apa pun, kepada yang membaca, bukalah minda. Jangan jumud dan terus menuduhkan orang itu sesat hanya kerana berbeza pendapat. Buka telinga dan mata, dengarkan hujahnya dan halusi dengan analisis yang jitu. Artikel kedua Pemilik Gelaran Zulkarnain akan menyusul membincangkan bagaimana empayar milik Alexander mula berkembang seiring dengan penceritaan di dalam Al-Quran.

Rujukan:
1. Muhammad Alexander. Alexander Adalah Zulkarnain (2010)





Sumber : -HE- The Patriots

No comments: