Cakap macam berani, bila dah ‘bertembung’ baru tahu!
Sumber : <<<Mastika>>>Oktober 9, 2023
CAKAP MACAM BERANI
Hari itu, Selva bekerja syif pagi. Jam 7.00 malam, dia sudah bersiap untuk pulang. Rakannya yang bekerja syif malam juga sudah datang. Selva sempat berpesan pada rakannya itu agar berhati-hati. Maklumlah, rakannya itu masih baru bekerja. Belum arif sangat selok-belok di situ. Lainlah dengan Selva yang sudah hampir 30 tahun menjadi pengawal keselamatan di situ. Semua cerita dalam tangannya.
“Eleh, aku bukan penakutlah,” kata rakannya itu ketawa, mempersendakan pesanan Selva. Malas hendak melayan telatah rakan setugasnya itu, Selva berlalu pulang.
Keesokan pagi apabila Selva datang untuk bertugas semula, dia mendapat tahu rakan setugasnya semalam demam teruk. Eh, semalam masuk bertugas elok saja. Selva jadi hairan.
Kemudian, baru Selva dapat tahu kisah sebenar. Rupa-rupanya ada sesuatu berlaku semasa rakannya itu bertugas. Lebih kurang jam 2.00 pagi, rakannya itu ‘disapa’ wanita berbaju putih lusuh. Rambutnya panjang separas pinggang.
Makhluk itu datang ‘menyapa’ ketika dia sedang duduk di pos pengawal. Pada mulanya, rakannya itu mahu menegur. Namun, bila terlihat wanita itu tidak berkaki dan seakan terapung-apung di udara, rakannya menggigil ketakutan.
Semakin lama, wanita itu kian dekat hingga benar-benar berada di sisinya. Rakannya itu tidak mampu angkat wajah untuk memandang wajah wanita itu. Bajunya sudah lencun dengan peluh kerana ketakutan. Bila tidak lagi tahan, segera rakannya itu angkat kaki, buka langkah seribu.
Ketika mendengar kisah itu, Selva hanya menggeleng-gelengkan kepala. Itulah, cakap besar lagi. Bila orang ingatkan, berlagak pula. Kan dan kena!
Selva sudah cukup arif dengan kawasan di sekitar institusi pengajian itu. Dah masak benar. Sebab itu dia selalu ingatkan pengawal baru agar berhati-hati. Jangan cakap besar.
Sejak mula bertugas hampir tiga dekad yang lalu, Selva sudah mendengar kisah kawasan itu yang dikatakan ‘keras’. Orang-orang lama pernah menceritakan di bahagian belakang kawasan itu dahulu pernah dijadikan tempat tentera Jepun memenggal kepala mangsanya.
Dahulu, Selva pernah ditugaskan berjaga di kawasan tersebut. Tidak ramai pengawal yang mahu bertugas di pos kawalan itu kerana ia sedikit jauh dan kawasannya agak terbiar.
Pernah semasa berkawal pada suatu malam, tiba-tiba…dummmmm! Kedengaran sesuatu jatuh di atas bumbung pos kawalan yang menyebabkan Selva terkejut. Waktu ketika itu pukul 2.00 pagi.
Heeee hee heeeee…. terdengar suara mengilai-ilai. Ia berlaku berulang kali. Bunyi benda jatuh berlaku berulang kali, disulami dengan suara makhluk itu ketawa.
Selva yang berada dalam pondok pengawal hanya diam membisu. Ada juga dia cuba mengintai ke atas. Yang nampak hanya bayangan kain putih lusuh yang berkibar-kibar. Terus Selva duduk semula ke dalam pondok. Malas dia hendak melayan makhluk itu lagi. Lantaklah dia hendak ketawa atau berterbangan ke mana saja. Yang penting, jangan dilayan, fikir Selva.
Beberapa tahun kemudian, pos kawalan di kawasan itu telah ditutup. Bila berada di pos kawalan lain, cerita lain pula yang timbul. Selva ingat lagi, ada satu ketika lebih kurang jam 4.00 pagi. Dia baru saja hendak berbaring selepas melakukan rondaan.
Tuk! Tuk! Tiba-tiba pintu pondok pengawalnya diketuk beberapa kali. Selva bangun dan membuka pintu. Tiada sesiapa. Aneh. Masakan dalam waktu begitu ada orang bermain ketuk pintu?
Selva berbaring semula. Ketika mengiring, dia melihat dari celah bawah pintu, ada kelibat kaki orang. Juga kedengaran bunyi bagai selipar diseret. Sekali lagi pintu diketuk.
Selva bangun dan membuka pintu. Tiada sesiapa. Lalu, Selva berkata, “Minta maaf, moyang. Cucu nak rehat sekejap. Moyang lalulah, tapi jangan kacau cucu ya.” Yang menghairankan, selepas berkata begitu, tiada lagi ketukan. Dapatlah Selva berehat dengan tenang.
Gangguan lain? Pun ada juga. Tapi Selva sudah biasa. Selva percaya, makhluk yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar itu memang ada di sekeliling kita. Tak nampak, bukan bererti tak wujud.
Prinsip Selva, mudah. Jangan ambil endah. Buat tak tahu saja. Makhluk itu juga hidup bebas dalam dunia mereka sendiri. Kalau kita takut, mereka lagi suka mengganggu.
Sebab itu Selva selalu berpesan pada orang baru, jangan cakap besar dan sentiasa berhati-hati. Jangan anggap remeh. Cakap macam berani, bila dah ‘bertembung’ baru tahu menggigil sampai demam tak kebah.
NOTA : Selva merupakan seorang lelaki India yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di sebuah institusi pengajian tinggi di ibu kota. Pengalaman di atas antara secebus pengalaman yang dilaluinya sepanjang hampir 30 tahun bertugas di situ.
No comments:
Post a Comment