Friday, June 27, 2025

SIAPA APEK YANG SAYA JUMPA TADI ?

 

 Sumber : <<<Mastika>>>

Julai 20, 2023

Diceritakan Oleh Suffian Tarmizi, Kuala Lumpur

SIAPA APEK YANG SAYA JUMPA TADI ?

Kalau dengar orang atau rakan-rakan sendiri bercerita kisah hantu, saya kebiasaannya menjadi pendengar sahaja. Jarang saya menyampuk atau tumpang sekaki.

Saya kurang percaya dengan cerita-cerita hantu. Selama 35 tahun hidup, belum pernah saya jumpa dengan makhluk yang digambarkan berwajah buruk, hodoh, menyeramkan dan macam-macam lagi rupa yang menakutkan itu. Namun, pengalaman yang berlaku beberapa tahun lalu betul-betul merubah segala tanggapan saya tentang kewujudan makhluk halus ini.

Saya bekerja sebagai pegawai pemasaran dengan sebuah syarikat swasta. Tugas ini menuntut saya menjelajah ke serata pelosok negeri untuk tempoh beberapa hari.


Suatu hari, saya diamanahkan berjumpa pelanggan syarikat kami di sekitar Muar, Johor. Selama empat hari di sana, saya memilih untuk menginap di sebuah hotel tiga bintang. Saya suka hotel ini kerana lokasinya di tengah bandar.

Selepas mendaftar masuk, saya diberikan bilik di tingkat sembilan. Pada siangnya tiada apa-apa yang berlaku. Lebih kurang pukul 8.00 malam, saya tinggalkan bilik untuk keluar makan malam. Saya pulang semula ke hotel sekitar pukul 10. 30 malam.

Namun, apabila melangkah keluar dari lif menuju ke bilik, tiba-tiba saya terasa seram. Sungguh, kerap kali sudah saya menginap di merata hotel, tapi ini pertama kali saya terasa sangat berlainan.

Hendak pula suasana hotel tersebut begitu sunyi. Pelanggan yang menginap tidak ramai. Barangkali mungkin disebabkan bukan hujung minggu. Semasa berjalan dari lif menuju ke bilik yang terletak di bahagian hujung, tiba-tiba hidung saya terhidu bau yang kurang enak.

Hendak kata busuk tidak juga tapi baunya agak tengik. Keadaan itu sedikit sebanyak membuatkan saya terasa sedikit seram. Laju saya berjalan menuju ke bilik. Buat saya lagi cuak, saya tidak nampak pelanggan lain yang menginap satu tingkat dengan aras bilik saya. Memang sunyi sepi.

Saya terus melangkah. Hanya dua tiga langkah nak sampai ke pintu bilik, saya menjerit.

“Arghhhhh!” terperanjat betul saya dibuatnya. Tiba-tiba sahaja pintu sebuah bilik berhadapan bilik saya terbuka sebelum keluar seorang apek tua.

“Hadoiii apek. You bikin saya terkejut saja,” kata saya tergeleng-geleng sambil tangan mengurut dada. Jantung saya bagai mahu tercabut. Memang saya betul-betul terperanjat bila lelaki Cina berusia lingkungan 70 tahun itu tiba-tiba keluar.

Apek itu hanya tersenyum mendengar kata-kata saya. Langsung tiada perkataan keluar dari mulutnya. Apek tadi melangkah perlahan menuju ke lif. Tidak menunggunya, saya terus masuk ke dalam bilik. Kali ini saya terasa sedikit lega. Sekurang-kurangnya ada orang lain searas dengan bilik saya. Tidaklah terasa seram sangat.

Saya melayan televisyen yang terpasang. Namun tiada rancangan yang menarik minat. Saya padamkan televisyen lalu berbaring atas katil. Lampu bilik saya padam sebelum hanya membiarkan lampu bilik air sahaja yang terpasang.

Sebelum melelapkan mata, saya layari laman sosial Facebook. Tiba-tiba telinga saya menangkap bunyi sesuatu.

TIK! TIKK! TIKK!

Saya pasang telinga. Bunyinya tak ubah seperti guli yang dilepaskan ke lantai lalu melantun-lantun. Bunyi itu begitu rancak sekali.

“Anak siapa pula lah main guli tengah-tengah malam ni,” saya berkata dalam hati. Sambil mengereng, saya terpandang lantai bilik. Tiba-tiba saya terasa seram sejuk. Saya mula terasa tidak sedap hati.

“Aikk, bilik aku ni berkarpet. Mesti bilik atas pun sama. Macam mana guli boleh melantun?” fikir saya seolah-olah baru sedar dengan apa yang terjadi.

Saya makin terasa seram sejuk. Gelisah juga  dibuatnya. Memang terasa seperti ada sesuatu yang tidak kena dengan hotel tersebut. Pun begitu, saya cuba tidak ambil pusing. Malas nak fikir perkara yang bukan-bukan lagi. Saya pejamkan mata cuba untuk tidur. Entah bila terlelap, saya tidak pasti.

Korohhhh! Arghhhhhh! Arghhhhhhh!

Saya terjaga daripada tidur. Lena saya terganggu dek kerana bunyi bising tersebut. Apabila di amati, bunyi itu seperti satu dengkuran yang sangat kuat. Tapi bukan seperti dengkuran manusia yang sedang tidur dengan nyenyak.

Bunyi tersebut tak ubah seperti bunyi seekor lembu yang disembelih atau bunyi manusia yang sedang sesak nafas. Adakala bunyinya seperti orang sedang mengerang kesakitan.

Saya lihat jam di telefon bimbit. Sudah hampir pukul 1.00 pagi. Bunyi tadi masih belum berhenti sehingga sukar saya hendak melelapkan mata semula. Saya bangun duduk di atas katil, sambil mengesan arah datangnya bunyi tadi.

“Macam dari bilik Apek depan ni,” bisik hati saya. Lima belas minit berlalu, bunyi itu masih kuat bergema. Langsung tidak berhenti. Disebabkan tidak tahan, saya lantas bangun keluar bilik.

TOK! TOK! TOK!

Pintu bilik depan saya ketuk bertalu-talu.

“Uncle! Uncle!” ujar saya dengan suara sikit tinggi mengejutkan penghuni di dalamnya.

Tiada sebarang jawapan. Sebaliknya, bunyi tadi makin kuat dan rancak pula bergema. Kali ini saya dengar lebih jelas. Suaranya makin kasar. Bila diamati betul-betul saya terasa bunyi itu seperti seseorang sedang dalam kesusahan. Macam ada masalah sedang dihadapi penghuni bilik tersebut.

Saya lantas buat keputusan turun ke lobi, menuju ke bahagian pendaftaran.  Depan kaunter pendaftaran, tiada seorang staf pun di situ. Saya perhatikan sekeliling. Hanya seorang pengawal keselamatan yang duduk atas kerusi depan pintu masuk. Itu pun kepalanya tersengguk- sengguk mungkin menahan mengantuk.

Menyedari kehadiran saya, dia cepat-cepat bangun berdiri. “Ada apa encik?” soalnya berjalan datang ke arah saya.

“Siapa yang duduk depan bilik saya tu? Depan bilik 9*4. Bunyi bising semacam. Mula-mula dengar macam berdengkur. Lepas tu bila lama-lama macam ada masalah pulak. Saya dah ketuk bilik banyak kali tapi tak ada yang sahut. Tadi masa balik dari makan tak silap depan bilik saya tu apek tua. Ada terserempak dengan dia,” adu saya pada pengawal keselamatan.

Dia kemudiannya memanggil seorang staf yang rupanya di dalam sebuah bilik di belakang kaunter pendaftaran. Perkara sama saya ceritakan kepada staf wanita itu.  Saat itu, mukanya saya tengok sedikit berubah. Macam ada sesuatu yang tak kena.

“Encik, sebenarnya tingkat encik duduk tak ada pelanggan lain. Memang encik seorang sahaja,” jawab staf bertugas.

“Ha? Tak mungkin, saya memang nampak apek tu keluar dari bilik tu,” kata saya.

“Aras encik tu memang tak ada siapa duduk. Encik seorang saja,” ulang staf tersebut sekali lagi.

Serta merta badan saya terasa seram sejuk. Bulu roma saya meremang.

“Habis, siapa apek yang saya jumpa tadi? Siapa pula yang berdengkur dalam bilik tersebut?” saya mula tertanya-tanya pada diri sendiri.

Pengawal keselamatan cuba menenangkan saya. Dia mengajak saya duduk di sofa lobi hotel.

“Encik sebenarnya dah ramai yang kena sakat macam ni. Tulah nak cakap pun susah. Kami sendiri tak tahu dari mana datangnya benda ni. Dulu okey aja. Tapi sejak setahun lalu kerap pula benda ni jadi,” dedahnya kepada saya.

Katanya lagi, kejadian paling terbaru sebelum saya ialah kira-kira tiga bulan lalu. Waktu itu pelanggan bukan disakat seperti saya sebaliknya pelanggan tersebut ternampak seorang lelaki Cina tua berjalan menembusi dinding! Mendengar cerita tersebut memang buat saya lagi kecut perut.

Balik ke bilik? Tidak, selepas itu saya buat keputusan untuk tidur atas sofa di lobi hotel sahaja walaupun pihak hotel menawarkan saya bilik lain. Saya tak mahu tanggung risiko. Dibuatnya nanti dia datang berbaring sebelah saya di atas katil, lagi kacau saya dibuatnya.

Esoknya, saya terus keluar dari hotel tersebut dan bermalam di hotel lain. Mujur tak kena sakat lagi.

No comments: