Febuari 15, 2024
Catatan Oleh : Syarifah Sofiiya, Johor Bahru
Sumber : <<<Mastika>>>
Jika bukan si Leper, siapa yang mencakar dari bawah katil itu?
SIAPA YANG CAKAR BAWAH KATIL
Aku memang suka membaca novel. Lebih-lebih lagi novel genre romantik. Biasanya aku membacanya pada waktu malam. Hendak tahu macam mana aku baca novel? Aku akan baring di atas katil sambil kedua-dua kaki aku juntaikan ke bawah mencecah lantai.
Ada sebab mengapa aku menjuntaikan kaki. Semuanya kerana Leper, kucing kesayangan aku. Ada kalanya ketika aku membaca novel, kaki aku dicuit-cuit manja. Aku biarkan saja Leper buat begitu. Setiap kali kaki aku dicuit atau digesel-gesel, pasti aku akan memanggil namanya. Kemudian Leper akan melompat ke atas katil.
Sebenarnya Leper mempunyai tempat tidurnya sendiri. Aku sediakan tilam kecil empuk tempatnya tidur di sudut bilik. Namun hanya sesekali saja Leper tidur di tempatnya. Biasanya Leper port di sebelah aku. Kalau tidak berbaring di atas perut, Leper akan baring di celah ketiak aku.
Suatu malam ketika sedang membaca novel, kaki aku dicuit-cuit. Kali ini cuitannya kasar sedikit, tidak seperti biasa-biasa yang manja. Ini mesti kerja Leper. Aku memanggil namanya. Tiada respon. Biasanya kalau aku sebut dua tiga kali namanya, Leper akan melompat ke atas katil. Kali ini tidak.
Leper bukan saja tidak melompat ke atas katil menerpa aku, suaranya pun aku tak dengar langsung. Mungkin Leper malas hendak layan aku. Biarlah!
Lama juga aku tunggu, namun kucing itu tidak juga melompat. Aku terus sambung membaca novel. Sekali lagi aku rasakan kaki aku seperti digesel sesuatu seakan-akan bulu. Semestinya bulu-bulu gebu badan Leper.
Walaupun ada rasa geselan Leper, namun suara kucing itu tidak kedengaran langsung. Hmmm… mungkin Leper meminta aku melihatnya dahulu sebelum aku mengangkatnya naik ke atas katil.
Aku biarkan. Malas nak layan. Setelah aku habiskan beberapa halaman novel, Leper tidak lagi mengulangi perbuatannya tadi. Kisah dalam novel yang banyak plot dan sub-plot yang aku baca semakin menguja. Jadi, nanti-nantilah aku layan Leper.
Ibu jari kaki aku tiba-tiba terasa sakit. Kali ini aku rasa ia bukan digesel oleh badan Leper. Rasanya macam ada yang mencucuk. Aku sentap kedua-dua kaki aku naik ke atas katil. Ada kesan lebam pada ibu jari kaki kiri. Tanpa berlengah, aku bingkas bangun dan melihat ke arah lantai.
Mungkin Leper ada di situ. Tapi tidak ada. Siapa yang mencucuk kaki aku tadi?
Aku sambung semula membaca novel. Walaupun mata tertumpu kepada ayat-ayat pada muka surat novel itu, namun fikiran terus berkecamuk memikirkan siapa yang mencucuk kaki aku tadi. Siapa punya angkara?
Tidak mungkin Leper boleh mencucuk kaki aku sampai lebam begini. Tidak mungkin juga Leper mencakar. Kalau Leper mencakar, kesan cakar tidak sama dengan kesan cucukan.
Kalau kesan kena cakar, sudah tentu aku akan rasa pedih-pedih. Namun, kesan yang ditinggalkan tadi adalah lebam. Lebam biasanya disebabkan kena cubit. Kenapa kaki aku dicucuk, tetapi kesannya adalah seperti kena cubit?
Tidak puas hati, aku menjenguk semula ke lantai. Tak ada sesiapa. Bayang Leper pun tak nampak. Aku sambung membaca novel. Kali ini aku tidak menjuntaikan kaki ke bawah. Takut kena usik lagi.
KESEKK… KESEKKK…
Tiba-tiba ada bunyi sesuatu seakan-akan ada yang menggesel atau mencarik-carik cadar katil aku. Novel aku tutup. Aku memasang telinga betul-betul. Bunyi itu datangnya dari arah lebihan cadar. Perlahan-lahan aku merapati bahagian bucu katil, kemudian aku menjenguk ke arah lantai.
KESEKK…KESEKKK…KESEKKK…kedengaran bunyi sesuatu masuk ke bawah katil. Tak pasti sama ada itu Leper atau bukan sebab aku tak nampak kelibatnya. Cuma yang aku nampak adalah kesan goyang-goyang kecil tirai plastik pada pintu kecil di bahagian bawah pintu bilik aku.
Pintu kecil itu memang abah buat untuk Leper keluar masuk kalau bilik aku berkunci. Pintu itu muat-muat badan dia saja. Selain itu, aku juga dapat lihat kesan hujung cadar seolah-olah ada yang masuk ke bawah katil. Kalau tirai kecil di pintu Leper bergoyang dan hujung cadar katil bergoyang, sudah tentu Leper yang masuk. Takkan tikus pula. Setahu aku, di rumah aku tak ada tikus.
“Leper… Leper…”
Hmmm… masih tak ada respon daripadanya. Biasanya kalau aku panggil, Leper akan menyahut. Ini tidak!
“Leper… keluarlah, buat apa masuk bawah katil tu,” sambung aku lagi.
Disebabkan Leper buat tidak tahu saja, aku memanggil namanya lagi sambil menyelak cadar dan menghulurkan tangan. Masih tidak ada respon. Aku memetik-metik jari supaya dia datang ke arah tangan aku.
ZAAAPPP…
“Aduiii!” aku menarik tangan apabila tiba-tiba tangan aku seperti dicakar. Sakit. Jari telunjuk aku mula mengeluarkan sedikit darah dari kesan hirisan cakaran Leper tadi.
Selama ini tidak pernah pun kucing Parsi itu mencakar aku. Ini sudah lebih! Melihatkan Leper ‘terlebih’ memberikan respon, aku menyelak cadar dan melihat ke bawah katil.
Dalam keadaan yang agak gelap, aku tak nampak kelibat Leper. Yang mencakar jari telunjuk aku tadi kalau bukan kucing, siapa?
Mungkin…. tiba-tiba bulu roma aku meremang. Aku bingkas bangun melompat ke atas katil. Perasaan seram menyelinap merayap ke seluruh badan, dan…!
Walaupun malam itu cuaca elok dan tak ada tanda-tanda menunjukkan akan hujan, tidak semena-mena langsir bilik aku bergoyang kuat ditiup angin dari luar – angin yang tak semena-mena menderu kencang.
Memang macam cerita-cerita dalam filem atau drama, bila keadaan seram-seram saja, mulalah langsir tingkap bergoyang ditiup angin. Tapi itulah yang berlaku.
Kebetulan atau tidak, aku tak pasti. Semakin lama, semakin kuat angin menderu masuk ke bilik. Aku terus saja menutup tingkap. Aku nekad melihat semula di bawah katil. Kali ini, antara berani dan takut, aku buka luas-luas hujung cadar yang menutupi tepi katil.
“Ya Rabbi!!!” aku terkejut.
Ada sepasang mata sedang memerhatikan aku. Habis berdiri semua bulu tengkok, tangan, dan anak-anak rambut halus pada hujung-hujung sempadan antara kulit muka dan rambut. Tebal serta-merta rasanya muka ini!
Tak mungkin itu mata Leper. Kalau mata Leper, sudah tentu ia bersinar kilat. Jarak antara mata kanan dan mata kiri agak rapat. Tapi mata yang aku lihat tadi tidak sama dengan ciri-ciri mata seekor kucing. Jarak antara mata kanan dan mata kiri agak jauh. Malah lebih jauh dari jarak antara mata kanan dan mata kiri manusia. Warnanya pula merah kekuningan!
Aku menjerit sekuat hati lagi. Tergamam di situ. Tak tahu apa yang harus aku buat. Tidak berapa lama kemudian, pintu aku diketuk dengan kuat. Aku dapat dengar beberapa suara memanggil nama aku.
Aku hanya menjerit dan terus menjerit. Ketukan pintu semakin kuat. Tapi, pada masa itu, aku langsung tidak terfikir hendak buka pintu. Aku hanya memerhatikan pintu bilik diketuk berkali-kali. Aku seakan terpaku di situ!
Perasaan aku atau bukan, kedua mata yang aku perhatikan tadi semakin mendekati aku. Matilah aku! Aku sambung menjerit tak keruan sambil memanggil-manggil nama abah dan mama.
Dari luar pintu, suara abah, mama, dan abang berterusan sahut-sahutan meneriak nama aku. Mereka suruh aku buka pintu. Tapi entah kenapa, kaki ini terasa sangat berat untuk diangkat. Sepasang mata itu semakin merapat!
“Abahhh, tolonggg Ninaaa! Mama…. tolonggg!”
Tidak lama kemudian, pintu bilik terbuka. Mungkin abah gunakan kunci spare yang dia simpan. Bila terbuka saja pintu bilik, serta-merta sepasang mata tadi hilang.
Mama, abah dan abang serta Leper meluru ke arah aku. Mama dan abah menenangkan aku sambil bertanyakan apa yang telah berlaku.
Memang sahlah bahawa yang mencuit, mencucuk dan mencakar aku sebelum ini bukan Leper, si kucing Parsi brachycephaly yang berwajah leper itu. Anda semua mungkin boleh mengagak, siapa sebenarnya yang punya angkara, bukan? Siapa lagi kalau bukan… ah, malaslah nak fikir!
Nasihat aku, kalau langsir bilik di rumah anda tiba-tiba bergoyang, tak kiralah kuat atau perlahan ditiup angin pada waktu malam, berhati-hatilah. Mungkin ada yang bakal ‘melawat’ anda.
Kepada sesiapa yang suka membaca sambil menjatuh atau menjuntaikan kaki ke bawah katil tu, berhati-hatilah. Kepada yang tidak boleh menghilangkan tabiat itu, cuba sesekali anda menjenguk ke bawah katil.
Mungkin ada sesuatu yang menunggu, hehehe… Itupun kalau beranilah! Amacam, ada bran?
Oh ya, baru aku teringat, bahawa muka surat terakhir sebelum aku menutup sementara novel sebelum aku memberanikan diri menyelak cadar dan melihat ke bawah katil adalah muka surat 109.
Pada muka surat itu tertera ayat “Sepasang mata coklatnya tepat merenung wajah lugu aku. Aku dapat melihat segunung harapan terzahir dari sinar matanya yang berkaca.”
Adakah ia ada kaitan dengan sepasang mata merah kekuningan yang membuatkan aku menjerit-jerit bagai orang histeria?
Hendak kata ada kaitan, macam ada. Hendak kata tidak, mungkin juga, kerana ayat itu adalah ayat-ayat romantik dari sebuah novel cinta! Takkan semuanya kebetulan?
No comments:
Post a Comment