TAMAR JALIS
SIRI BERCAKAP DENGAN JIN
JILID 1
SBDJ (JILID 1) : EP 14 - BERSUAMIKAN HANTU RAYA
"Dengan pertolongan Allah anak kau akan baik. Percayalah, dengan
syarat selama tiga minggu, jangan beri sesiapa menemui Latifah, kecuali kau dan
emaknya," Wansi memberikan sebuah keyakinan dan harapan pada Haji Azhar.
Haji Azhar tersenyum. Sebelum meninggalkan bilik Latifah Wansi berpesan
pada Haji Azhar supaya mengunci bilik dari dalam. Dan jangan memperhiraukan
dengan apa yang berlaku di luar. Haji Azhar angguk kepala.
Rumah Haji Azhar cukup besar. Ada lapan bilik di dalamnya. Jarak bilik
Latifah dengan anjung rumah memang agak jauh juga jaraknya. Pada mulanya Haji
Azhar menawarkan dua bilik penginapan untuk kami, tetapi datuk dan Wansi
menolak dengan alasan tidur di anjung lebih baik. Tidak panas serta mudah
menjalankan kerja‐kerja untuk mengubati Latifah.
Saya resah tidak menentu. Dua tiga kali saya memejamkan mata. Saya
tidak juga mahu tidur. Lampu gaslin sudah lama dipadamkan. Digantikan dengan
lampu minyak tanah sengaja dipendekkan oleh datuk. Cahayanya sekadar cukup menerangi
wajah datuk dan Wansi, tetapi lingkaran cahaya lampu itu sampai juga ke muka
saya, agaknya kerana itulah saya tidak dapat tidur.
Saya merenung ke arah datuk dan Wansi. Mereka sedang membalut rokok
daun sambil bercakap sesuatu. Saya mula terdengar kokok ayam bertalu‐talu, saya
kira sudah hampir pukul dua malam.
Dugaan saya tepat sekali. Tidak lama lepas itu, terdengar bunyi jam
loceng Haji Azhar berbunyi dua kali berturut‐turut.
Angin malam yang bertiup menambahkan rasa dingin di badan. Saya terpaksa
membengkokkan badan, seperti angka lima. Sayup‐sayup saya terdengar suara
burung hantu dan suara anjing menyalak panjang. Datuk dan Wansi masih juga
belum tidur.
Tiba‐tiba, datuk dan Wansi melompat dan lampu padam. Bila datuk
menyalakan lampu minyak tanah kembali terdapat batang pisang berkembar dua
terletak atas lantai di anjung rumah. Batang pisang itu seolah‐olah baru lepas
digunakan untuk memandikan mayat. Bila datuk mahu menjamah batang pisang tersebut,
cepat‐cepat Wansi menyepak tangan datuk.
"Jangan dipegang," kata Wansi.
Saya mengeletar sendirian. Dua kali saya cuba bangun, tetapi saya terjatuh
dengan sendiri hingga kain yang saya pakai terlucut dari pinggang. Saya bogel
dalam sinar samar‐samar cahaya lampu minyak tanah. Wansi yang terpandangkan
saya turut tersenyum.
"Kau pergi ke sana," katanya pada saya, sambil merungut
kerana datuk membawa saya. Tanpa banyak bicara saya akur dengan perintahnya.
Saya bersandar pada tiang rumah. Saya lihat dari batang pisang itu keluar asap
berkepul‐kepul. Dua tiga ekor kelawar hitam berterbangan dengan bebasnya di
anjung rumah, kelawar hitam itu akan kencing, airnya merah macam darah.
Di luar anjung, kedengaran bunyi deru angin yang cukup kuat. Saya lihat
ada bayang putih memanjang melayang di halaman rumah. Darah saya tersirap.
Benda putih itu masuk ke dalam kawasan anjung dan hilang betul‐betul di
tengah‐tengan batang pisang.
Suasana di luar rumah agak gamat juga dengan bunyi suara kokok ayam,
salakkan anjing dan suara jampuk bersahut sahutan. Kelawar yang hinggap di bahagian
anjung rumah terus bersuara, cukup seram, giginya yang putih berkilat itu
nampak tajam disamping memperlihatkan taringnya.
Saya jadi tidak tentu arah. Berdiri salah, duduk pun salah. Apakah
syaitan‐syaitan ini akan meragut nyawa saya. Timbul pertanyaan dalam diri.
Dalam keadaan yang serba gawat itu, saya masih dapat membaca beberapa potong
ayat al‐Quran yang saya kira dapat menghalau syaitan‐syaitan itu. Datuk dan
Wansi kelihatan tenang memandang batang pisang yang berasap itu.
Wansi berdiri lalu mengangkat sebelah tangannya ke atas. Lengan tangan
kanan yang diangkatnya itu dirapatkan pada lubang telinga kanannya. Sementara
tangan kirinya diletakkan atas dada, kaki kanannya, menapak dua tapak ke depan.
Manakala kaki kirinya dibengkokkan sedikit.
Wansi menjerit sekuat hati. Bila jeritannya berakhir. Dia bercakap
dalam loghat bahasa Bawean, selesai dia bercakap, beberapa ketul batu dan kayu
berterbangan masuk ke dalam anjung ruamh. Wansi sedikitpun tidak bergerak.
Bunyi suara kucing hutan melalak di bawah rumah.
Beberapa ekor tupai hitam, entah dari mana datangnya berlompatan di
lantai. Semuanya melompat ke tanah. Sebaik saja tupai‐tupai itu ghaib, seekor
beruk besar muncuk di depan datuk dan Wansi.
Kali ini datuk mara ke depan dan menolak Wansi ke belakang. Saya agak,
tentulah datuk tahu, bahawa kawannya itu tidak berdaya menentang cubaan
syaitan‐syaitan itu. Datuk berpeluk tubuh. Dia membaca mentera hingga tubuhnya
kelihatan berasap. Batang pisang di tengah anjung bagaikan diangkat orang,
bergerak sendiri menuju ke muka pintu dan hilang dalam gelap.
Tempat batang pisang itu digantikan dengan api yang menyala ganas. Bahang
panas itu terasa ke muka saya.
Wansi mengambil uncang hitam lalu memukul ke arah api. Api itu mula runduk.
Wansi memukul lagi hingga api itu bertukar mejadi bara sebesar bola pingpong.
Bara itu terbang. Berlegar‐legar dalam rumah akhirnya keluar menuju ke pondok
tempat saya dan datuk serta Wansi beranung dulu. Pondok itu terbakar.
"Orang ni benar‐benar mahu memalukan keluarga Haji Azhar dan mahu
membinasakan kita," kata Wansi sambil melurut langan kirinya dengan tapak
tangan kanan. Dalam beberapa saat saja pondok itu hancur menjadi abu. Bara api
sebesar bola pingpong menuju ke arah kepala Wansi. Cepat‐cepat Wansi mengelakkan
diri. Sementara itu , datuk masih berusaha untuk menghalau syaitan‐syaitan
ganas itu mengikut kemampuan yang terdaya olehnya.
Bara api sebesar bola pingpong terus berlegar‐legar dalam ruang anjung.
Wansi mula bertindak, saya lihat mukanya berubah. Mulutnya terus bercakap dalam
bahasa Bawean. Wansi membalut tangan kanannya dengan uncang hitam, kemudian
bola bara api itu dipegangnya sekuat hati. Saya lihat tapak tangannya berasap.
Saya kira dalam hal ini Wansi lebih gagah dan banyak ilmu dunianya jika dibandingkan
dengan kehandalan yang terdapat dalam diri datuk.
Datuk tersandar di dinding. Mukanya kelihatan biru. Dua kali datuk terbatuk
dan mengeluarkan darah yang cukup kental. Saya urut belakang datuk. Wansi
meletakkan bola api yang sudah menjadi seketul arang itu di tengah anjung
rumah. Dia rapat pada datuk. Dua kali dia menumbuk belakang datuk.
Datuk terbatuk,dari mulut datuk keluar segumpal cacing tanah dan ulat
bulu. Cacing dan ulat bulu itu bergerak atas lantai. Wansi memukulkan uncangnya
ke muka datuk. Datuk segera pulih. Wansi kembali ke tempat arang yang
diletaknya. Arang itu masih berasap. Bila asapnya hilang saya lihat ada kepala manusia
terletak di situ, Berlilit dengan kain. Matanya terkedip‐kedip merenung ke muka
datuk, bagaikan minta pertolongan.
"Saya kenal dia Wansi," kata datuk.
"Siapa manusia ni?"
"Bomoh orang asli, dari batu enam belas, saya pernah bertemu dengannya
dua kali," terang datuk dengan jujur. Wansi tersenyum. Wansi duduk bersila
di depan kepala manusia yang seoah‐olah melekap pada papan lantai itu.
"Kenapa kau buat jahat dengan orang?" tanya Wansi.
"Saya dapat upah encik," jawab kepala itu dalam gaya bahasa
orang asli bercakap Melayu. Matanya terkelip‐kelip macam katak puru kena sembur
air. Wansi atau datuk. Biarkan mereka dengan tugas mereka. Saya cuma mahu
melihat peristiwa ini sebagai bahan kenangan atau sejarah yang tersimpan dalam
diri saya. Itu saja tekad saya.
"Siapa yang mengupah kau?" datuk menyoal.
"Orang kampung ini juga."
"Siapa namanya."
"Tak boleh cakap encik, itu sumpah saya,"
"Awak tahu, kerja awak ni menyusahkan saya dan orang lain,"
kian keras nada suara Wansi. Datuk mula resah. Dia berpusing‐pusing dua tiga
kali di depan kepala yang terlekap di lantai.
"Tak tahu encik, dia datang minta tolong, katanya orang itu
meludah mukanya waktu dia usik‐usik untuk ajak kahwin, orang itu maki dia, jadi
saya ingat perbuatan orang itu tak baik menghina sesama manusia kerana itu saya
tolong dia." Bagaikan mahu berbuih mulut orang itu bercakap, cukup siksa.
Datuk dan Wansi berbisik, Kepala yang terlekap di lantai kelihatan
bergerak‐gerak. Mukanya berpeluhpeluh. Dua tiga helai rambunya gugur. Suasanan
malam yang tadi agak gawat sekarang sudah cukup tenang.
"Awak mesti bercakap betul dengan saya, kalau tidak saya botakkan
kepala awak di sini," Wansi mula mengugut. Datuk mengigit bibir.
"Jangan buat jahat dengan orang encik."
"Saya tak buat jahat, awak yang mulakan dulu."
"Saya mengaku, saya dah kalah, encik kuat. Apa yang encik mahu
sekarang?"
"Jangan kacau orang di baruh, nanti orang di darat susah, siapa
orang di baruh yang upah awak?"
"Baiklah encik, kalau saya cakapkan, encik mesti berjanji dengan
saya tidak balas dendam."
"Kami tak mahu balas dendam, kami cuma mahu tahu saja."
"Orang itu akan datang sendiri berjumpa encik minta maaf, saya
akan suruh dia jumpa encik,"
"Bila?" potong datuk dengan cepat.
"Dua hari lagi."
Selesai saja orang itu bercakap. Wansi pun memukul kepala orang itu
dengan uncang yang dibuat darikain hitam. Kepala orang itu pun hilang. Jam
milik Haji Azhar berbunyi empat kali berturut‐turut.
Dingin subuh mula meresap ke batang tubuh saya. Dalam kedingannan yang
menggigit tulang itu saya terlelap .
Bila saya membuka kelopak mata, matahari pagi sudah pun memancarkan
sinarnya di halaman rumah.
Murai dan merbah sudahpun berhenti berkicau.
Datuk dan Wansi duduk bersila panggung sambil menghisap daun rokok
nipah. Mereka merenung ke arah pondok yang tertegun gagah di bawah kelopak
matahari pagi. Kepala saya terasa pening kerana malam tadi saya menyaksikan
dengan mata kepala saya sendiri pondok itu musnah dijilat api. Apakah saya
bermimpi atau ditipu oleh perasaan takut yang menguasai diri saya. Timbul
berbagai pertanyaan dalam hati kecil saya.
"Kenapa pondok ini tidak hancur tok, malam tadi saya lihat
terbakar," itulah pertanyaan pertama pagi itu, saya ajukan pada datuk.
Datuk merenung muka saya sambil tersenyum.
"Memang terbakar, tetapi dibakar oleh syaitan," balas datuk.
Saya terdiam. Memanglah perkara ini tidak masuk di akal. Kalau diceritakan
pada sesiapapun tidak ada orang yang percaya sedangkan pada kenyataannya saya
melihat kejadian‐kejadian itu sendiri.
Bila datuk melihat daya termenung panjang, dia pun menghampiri saya.
Dan menyatakan apa yang saya lihat itu, bukanlah satu perkara yang aneh.
Semuanya terjadi atas kemahuan Allah yang maha besar.
"Allah itu maha pemurah dan panyayang."
"Jadi," tingkah saya.
"Dia akan memperkenankan apa juga yang diminta oleh mahkluknya
sama ada jahat atau baik."
"Kalau minta jahat bagaimana?"
"Dipenuhinya dan tanggunglah akibat dari permintaan itu. Sebagai
manusia kita diberikan fikiran untuk meminta sesuatu yang baik atau
jahat."
MENGAKU
Saya pun angguk kepala mendengar cakap datuk itu. dalam masa yang sama
Haji Azhar minta datuk dan Wansi duduk sebulan di tempatnya.
"Minta maaf, saya banyak urusan. Saya boleh tunggu hingga hari Jumaat
kerana ada orang yang akan datang ke sini?" Saya lihat wajah Wansi cukup
tenang.
"Siapa?" soal Haji Azhar.
"Nantilah saya beritahu kemudian, lagi pun saya mesti balik cepat
kerana saya belum lagi membuat persiapan untuk…'" suara Wansi terhenti.
Dia merenung keluar pada pepohon rambutan dan langsat yang disentuh angin pagi.
Matahari terus bersinar garang.
"Nak ke mana selepas mengubat anak saya ni?"
"Saya nak berangkat ke Tanah Suci," jawapan Wansi itu amat
mengejutkan hati datuk. Memang sebelum ini, Wansi tidak pernah menceritakan hal
itu padanya. Saya merasa amat kagum dengan datuk dan Wansi yang tidak mahu
menceritakan apa yang di alaminya malam tadi pada Haji Azhar. Meskipun Haji Azhar
bertanya beberapa kali. Seolah‐olah mereka sepakat merahsiakan perkara itu.
Bagi menanti hari Jumaat yang ditunggu, saya dan datuk serta Wansi ke
Cangkat Banjar dan Cangkat Melintang mencari akar‐akar kayu dan pucuk‐pucuk
hutan. Akar‐akar kayu yang dipilih itu dijadikan minuman menggantikan kopi,
sementara pucuk‐pucuk kayu dijadikan air pembasuh muka selepas menunaikan
sembahyang subuh.
Menurut Wansi akar‐akar kayu itu berguna bagi mencegah sakit buah pinggang,
darah tinggi. Pucukpucuk hutan pula berkesan bagi perjalanan darah di samping
mengkalkan wajah supaya kelihatan muda dan merah.
PAGI JUMAAT
Memang sudah menjadi amalan dalam hidup datuk selepas menunaikan
sembahyang subuh, dia akan membaca Quran. Begitu juga dengan Wansi. Saya
disuruh oleh datuk membaca surah Yassin. Kelamkabut juga saya dibuatnya oleh
datuk. Bagamana tidak menggelabah bila datuk menyuruh saya
membaca surah Yassin tanpa naskah Yassin Bila melihat saya dalam
keadaan cemas begitu. Wansi memberikan naskah Yassin pada saya.
"Kau mesti ikut macam datuk kau, boleh baca Yassin tanpa
buku," ujar Wansi.
"Dah diajar, tapi cucu saya ni keras kepala sikit," tingkah
datuk. Disambut dengan ketawa yang memanjang dari Wansi.
Ketika matahari mula bersinar. Dari muka jalan masuk ke rumah Haji Azhar,
kelihatan seorang pemuda berbadan tegap mendatangi ke arah datuk dan Wansi.
Sebaik saja sampai di kaki tangga pemuda itu memberi salam. Wansi
mempersilakannya naik.
"Jangan mengapakan saya, malam tadi saya tak boleh tidur, badan saya
macam tebakar hangat sampai ke pagi," terus terang pemuda berkulit hitam
manis, berhidung mancung, rambut ikal itu meluah kan rahsia dirinya. Wansi dan
datuk berpandangan.
"Badan saya masih terasa dingin, walaupun matahari bersinar
terang, kabus nipis kelihatan keluar dari bumi di antara pepohon manggis dan
langsat. Suasanan di Kampung Belanja kiri pagi itu terasa cukup tenteram dengan
kicau burung. Melompat dari dahan ke dahan.
"Apa sebabnya awak datang ke sini?" datuk bersuara parau.
"Sayalah yang mengupah bomoh orang asli memasukkan kain batik ke
dalam perut anak Haji Azhar," sambung pemuda itu sambil merenung lantai.
Wansi memperkemaskan silanya.
"Kau harus tahu membuat atau menganiaya sesama manusia satu dosa
besar. Allah tidak dapat mengampunkannya sekiranya orang yang kena aniaya itu
tidak memaafkannya," terang Wansi.
"Saya tahu, saya bertaubat tuan, saya melakukannya kerana
mengikut nafsu." Sebaik saja pemuda itu selesai bercakap. Haji Azhar
dipanggil oleh Wansi. Haji Azhar pun segera datang. Duduk bersila di antara datuk
dan Wansi.
"Inilah orang yang saya tunggu," kata Wansi pada Haji Azhar.
Bila mata haji Azhar terbeliak. Dia kenal benar dengan pemuda itu, pernah
berkerja dengannya sebagai pemandu bot penambang dari Belanja Kiri ke Pekan
Parit, di seberang tebing Sungai Perak, Haji Azhar tahu pemuda itu boleh
bergerak bebas dalam kawasan rumahnya. Orangnya pendiam dan bersopan‐santun.
"Apa, dia keluarga awak?" Satu pertanyaan keluar dari mulut
Haji Azhar.
"Tidak tuanHaji," pendek jawab Wansi.
"Habis kenapa dia jumpa awak."
"Usah tanya tentang hal itu, kalau awak sayangkan anak awak,
jangan rosakkan budak ni, jangan dipukul atau membalas dendam."
"Saya tak faham."
"Saya boleh beri awak faham, tapi awak jangan membalas dendam
kerana perbuatan itu ditegah oleh agama kita yang suci, kalau awak boleh memenuhi
syarat ni, awak akan bahagia hidupnya dan pemuda ini akan tenteram
jiwanya."
"Saya berjanji," satu keputusan tegas dari Haji Azhar.
Datuk serta Wansi berdiri. Pemuda dan Haji Azhar duduk berhadapan
sambil bersalaman, waktu salam keduanya belum terbuka. Datuk membaca ikrar yang
bermaksud, bahawa Haji Azhar tidak akan membalas dendam dan pemuda itu akan
bertaubat. Selasai saja ikrar itu dibuat, barulah Wansi
menceritakan apa yang dilakukan oleh pemuda itu terhadap anaknya.
Badan Haji Azhar saya lihat menggigil menahan marah.
Bila semua urusan selesai. Pada sebelah malamnya diadakan kenduri doa
selamat. Dan pada keesokan harinya kami bertiga pun berangakat meninggalkan
Kampung Belanja Kiri. Dua bulan lepas itu, saya dijemput oleh Haji Azhar datang
ke rumahnya lagi sekali, untuk menyaksikan Latifah bersanding dengan pemuda
yang dipilih oleh Haji Azhar.
Dengan pemuda pilihan bapanya itu, Latifah memperolehi dua orang anak.
Sekarang Latifah menetap di Kulai, Johor. Menurut cerita yang terbaru saya
dengar, anak sulung Latifah sudah melahirkan dua orang anak. Haji Azhar
meninggal dunia dalam tahun 1980 di Belanja Kiri kerana sakit tua, isterinya
masih lagi
hidup dan tinggal bersama Latifah.
Pemuda yang mengupah bomoh siam itu meninggalkan kampung, Belanja
Kiri, sesudah meminta ampun dan maaf pada Haji Azhar. Walaupun perkahwinan
Latifah pada hari itu cukup merah tetapi datuk tetap berwajah suram, kerana
Wansi yang banyak berjasa pada keluarga Haji Azhar tidak dapat datang. Dia meninggal
dunia di Tanah Suci.
JUMPA BOMOH ORANG ASLI
Dua hari selepas menghadiri majlis perkahwinan anak Haji Azhar itu,
saya dengan datuk pergi ke Cangkat Pinggang dekat Kampar kerana urusan membeli
tanah dusun. Dua malam tidur di rumah ketua Kampung Cangkat Pinggan. Lepas itu
kami bertolak ke Tapah. Di Tapah datuk menginap dua hari di rumah kawannya di
Lubuk Katak kira‐kira suku batu dari Pekan Tapah.
Pada keesokan harinya saya dengan datuk bertolak dari Pekan Tapah
menuju ke Cameran Highlands. Sampai di Batu enam belas datuk memetik loceng
bas. Kami turun di situ. Dari gigi jalan kami memasuki satu lorong yang kiri
kanannya di tumbuhi pokok‐pokok hutan. Di hujung lorong itu terdapat sebuah perkampungan
orang asli.
Tidak jauh dari kampung ornag asli pada masa itu, terdapat berberapa
buah bangunan pekerja‐pekerja yang terlibat dengan pembinaan projek haidro
elektrik. Kebanyakan pekerjanya terdiri daripada pemuda‐pemuda Melayu terutama
di bahagian buruh kasar seperti menebuk terowong dan meratakan batu.
Pergerakkan pekerja‐pekerja itu dapat dilihat dengan mudah dari
perkampungan orang asli yang terletak di kawasan tanah yang tinggi. Sekarang
projek itu sudah siap.
Kedatangan saya disambut dengan baik oleh bomoh orang asli yang berwajah
agak garang itu. Namanya Bah Lanjut. Dia mempersilakan saya dan datuk duduk di
anjung rumahnya. Apa yang mendatangkan rasa kurang senang dalam diri saya, bila
melihat anjing kepunyaannya berkeliaran dalam rumah. Hati saya
agak terhibur kerana dari radionya terdengar suara Saloma
mendendangkan lagu Mengapa Dirindu yang
menjadi
lagu top ketika itu.
No comments:
Post a Comment