Sumber : <<<Mastika>>>
Disember 1, 2022
Diceritakan Oleh : Wan Mud Shardihan Wan Dahalan
MISTERI LEMBAGA TANPA KEPALA
SEKITAR akhir tahun 2000, suatu malam saya mengajak kakitangan saya yang dipanggil Faiz untuk menemani saya di pejabat. Pekerja yang lain semua sudah pulang, hanya tinggal kami berdua.
Ketika sudah masuk waktu Maghrib, Faiz masih kusyuk menyiapkan kerjanya. Saya pula terus ke bilik air mengambil wuduk dan mengerjakan solat Maghrib di dalam bilik. Selesai saja saya memberi salam, wajah Faiz tercongok di muka pintu.
“Bos, cepat kunci pintu depan. Saya dengar ada suara orang lelaki dan perempuan berbisik-bisik di belakang. Mungkin ada yang tak balik lagi,” kata Faiz.
“Apa lagi yang kau dengar?” tanya saya. Sebenarnya, saya dapat berasakan ada sesuatu yang tidak kena. Bahagian belakang hanya untuk staf flying squad. Ada yang nak mengganggu nampaknya.
Faiz mengajak saya ke belakang. Dengan hati yang berat, saya ikut langkah Faiz. Dari satu bilik ke satu bilik, semua kami periksa. Hati kecil saya mula mengiakan telahan tadi. Bukannya kerja orang kalau begini. Begitu teliti Faiz memeriksa hingga meninjau di bawah meja. Saya hanya memerhatikan dari depan pintu bilik.
Apabila sampai ke bilik paling akhir, tiba-tiba saya ternampak satu lintasan berwarna putih lalu dengan pantas di depan bilik. Betul apa yang saya sangkakan. Tidak mungkin masih ada kakitangan di bahagian belakang dalam keadaan lampu tertutup.
Namun, saya masih turuti kehendak Faiz. Tak berani nak beritahu apa yang melintas sebentar tadi dan apa yang saya rasa. Setelah semua bilik kami periksa memang terbukti tiada siapa yang kami temui. Mood saya nak bekerja terus hilang.
“Faiz, jom kita balik,” saya mengajak Faiz meninggalkan pejabat. Tanpa apa-apa bantahan, Faiz terus mengekori saya.
Diganggu dengan bunyi-bunyi seperti orang rancak berbual dan bergurau bukanlah satu perkara baru dan asing. Oleh kerana kerap pulang lewat bekerja, saya pernah diganggu oleh pelbagai bunyi.
***
SAYA masih ingat lagi suatu malam apabila hanya tinggal berdua dengan Mahendran, salah seorang pekerja kontrak yang sudah lebih 10 tahun berkhidmat di jabatan kami.
Malam itu saya berasa lapar. Apa lagi, mi segeralah yang menjadi pilihan.
“Mahen, tolong masak air panas,” pinta saya.
Setelah beberapa minit, kami menuju ke pantry. Kami masak maggi dan kemudian buat air teh o. Ketika itu, tiba-tiba terdengar bunyi sesuatu di tengah pejabat. Sepantas itu jugalah Mahen pergi menjenguk. Selang beberapa minit beliau datang ke pantry semula.
“Tak da orang lah bos tapi bunyi apa tadi?” Mahen yang kehairanan duduk semula sebelah saya.
Saya hanya mendiamkan diri. Saya sudah mula membaca zikir di dalam hati. Seboleh-bolehnya saya ingin fokus sambil membacakan beberapa ayat suci al-Quran. Tiba-tiba bunyi tadi kedengaran semula. Kali ini Mahen hanya bangun dan memerhatikan dari pintu pantry.
“Bos, ada benda kacau kita ke? Apa benda yang bunyi tu bos? Kalau orang lain sudah balik siapa lagi yang ada?” Mahen tak sudah-sudah menanyakan soalan.
“Cepat makan Mahen. Maggi dah sejuk,” saya cuba tukar topik. Sekurang-kurangnya saya tidak lagi dihimpit soalan-soalan yang serupa.
Pernah lampu pejabat tertutup semuanya. Nasib baik saya sudah bersedia dengan lampu suluh. Sebelum pukul 5.00 petang, saya sudah minta lampu suluh dari Suhaimi, juruteknik elektrik.
Saya juga masih ingat pengalaman Pak Ya apabila lampu black out. Selepas dipulihkan bekalan elektrik, tiba-tiba black out semula. Apabila berlaku beberapa kali Pak Ya terus bercakap: “Janganlah kacau, kami nak kerja ni!”
Anehnya, bekalan elektrik terus pulih hingga selesai waktu pejabat. Seperti ada yang faham. Namun lembaga tersebut tidak pernah menzahirkan dirinya.
***
PENGALAMAN Mahen diganggu di bilik air pejabat lebih menakutkan. Beliau sering datang ke pejabat sebelum pukul 7.00 pagi.
“Pagi itu perut saya sakit. Memulas-mulas. Saya sendiri pun tak tahu apa puncanya. Saya terus masuk bilik tandas pertama. Selang beberapa minit saya terdengar ada orang masuk tandas dan gunakan bilik kedua,” cerita Mahen kepada saya.
“Cepat abang datang pejabat,” terdengar satu suara wanita menegur Mahen dari bilik air sebelah. Terkejut Mahen. Mengapa pula orang perempuan masuk tandas lelaki?
“Saya memang biasa datang awal pagi. Adik ni siapa dan mengapa masuk tandas lelaki?” Mahen memberanikan diri bertanya.
“Oh, saya memang sakit perut tadi. Saya tak berani masuk tandas perempuan. Gelap dan tak da orang lain,” jawab perempuan misteri itu.
“Saya nampak abang masuk tandas lelaki. Jadi saya ikutlah. Boleh ya bang,” ujar suara perempuan itu lagi.
Entah mengapa, bulu roma Mahen meremang. Lain benar dirasakannya suara perempuan itu. Lagipun semasa dia sampai di pejabat, dia tidak melihat sesiapa pun. Hanya dia seorang yang baru sampai awal pagi begitu.
Setelah menyelesaikan hajatnya, Mahen segera keluar dari bilik tandas. Diperhatikannya bilik sebelah, tidak berkunci. Seolah-olah dibiarkan terbuka sedikit. Oleh kerana tidak ada bunyi apa-apa, Mahen beranikan diri meninjau bilik sebelah itu.
Bila dia buka bilik itu, dia nampak tudung wanita tergantung tanpa badan. Kepala yang bertudung menghadap ke dinding tandas. Biasanya orang akan menghadap mukanya ke depan. Badannya pula tak ada. Hanya tudung itu tergantung terawang-awang. Apa lagi, terus Mahen lari keluar dan tunggu di pondok pengawal. Tak berani dia masuk ke pejabat sebelum ada pekerja lain sampai.
Saya tak terkejut sangat mendengar cerita Mahen itu. Sebabnya sebelum itu memang ada pekerja yang pernah terserempak lembaga tanpa kepala di tingkat satu. Ada pula pekerja di jabatan lain yang terserempak juga dengan lembaga tanpa kepala di bahagian parkir kereta ketika pulang lewat malam.
Itulah sebabnya apabila kerja lawat malam, saya lebih suka jika ada ditemani dengan kakitangan lain, sekurang-kurangnya tidaklah saya berseorangan menghadapi usikan itu.
No comments:
Post a Comment