Friday, June 6, 2025

Allahuakbar !!..Makhluk Itu Melayang

 

Sumber : <<<Mastika>>>

Oktober 19, 2023

Pengalaman diceritakan oleh : Farif Arshad, Perak

Allahuakbar !!..Makhluk Itu Melayang

KISAH ini berlaku pada tahun 2015. Jika ada yang masih ingat, pada 31 Oktober 2015, pasukan Johor Darul Takzim (JDT) berjaya bergelar juara Piala Asian Football Confederation (AFC), setelah menewaskan pasukan FC Istiklol.

Kejayaan pasukan bola sepak tanah air itu disambut gembira oleh seluruh rakyat Malaysia terutamanya rakyat Johor. Saya sendiri, walaupun anak kelahiran Perak, menetap dan bekerja di negeri kelahiran, merupakan salah seorang peminat pasukan JDT.

Tapi kerana perlawanan pada malam itu jugalah, saya tak dapat melupakan satu kejadian yang sehingga kini masih segar dalam ingatan.


Saya bekerja di Ipoh. Pada tarikh tersebut, saya berada di kampung, pulang melihat ibu dan ayah yang tinggal di Selama, Perak. Mulanya saya memang hendak balik ke rumah sewa di Ipoh pada sebelah petang. Namun apabila teringat perlawanan akhir yang akan disiarkan secara langsung di kaca televisyen pada malam tersebut, niat itu saya batalkan.

“Man, kita balik lewat. Nak tengok bola dulu. JDT main,” kata saya menghubungi Man, rakan rumah sewa. Semasa pulang ke kampung, Man menumpang kereta saya untuk balik ke rumah ibu bapanya di Kamunting, Taiping. Bermakna sebelum balik ke Ipoh, saya akan menjemput Man terlebih dahulu.

Dipendekkan cerita, habis sahaja perlawanan bola yang menyaksikan pasukan JDT menang, saya terus bersiap-siap untuk bergerak pulang. Sedang berkemas, ibu menegur menasihati supaya saya pulang keesokan harinya sahaja.

“Balik esok aja lah. Dah lewat ni. Kat luar tu pun hujan,” kata ibu.

“Ishh, tak boleh mak. Esok takut tak sempat. Pagi-pagi lagi ada hal,” jawab saya. Walaupun esoknya adalah hari minggu, tapi saya perlu selesaikan satu urusan penting.

Mak diam, tak membantah jawapan saya. Sebenarnya, kalau ikutkan hati memang saya nak balik esok pagi. Tapi ada banyak perkara yang harus diselesaikan dan menghalang niat saya itu.

Sebenarnya, memang saya agak takut untuk memandu kereta ke rumah Man lewat malam begitu. Untuk ke rumah Man dari Selama, saya perlu melalui jalan hutan simpan kekal Pondok Tanjung. Jalan di situ memang gelap. Tiada sebuah rumah di kawasan itu kerana ia merupakan hutan simpan.

Dalam takut-takut berani itu, saya memujuk diri sendiri. Lagipun, jalan tersebut sudah dibina jalan baru bagi menggantikan jalan lama yang bengkang bengkok. Kalau masih jalan lama, sesiapa yang tak biasa, pasti termuntah dibuatnya. Jalan yang baru sudah lurus. Yang kurang elok pun, jalan itu sedikit beralun di sesetengah tempat. Itu saja.

Sekujur Lembaga Di Tengah Jalan

SELEPAS bersalaman dengan mak dan abah, saya bergerak tinggalkan rumah sekitar pukul 12.00 malam. Dalam hujan renyai-renyai yang masih turun, saya terus memandu. Dari Selama sehingga ke Kampung Kubu Gajah, pemanduan saya elok sahaja. Sepanjang jalan itu masih banyak rumah penduduk kampung di tepi jalan.

Kereta saya juga banyak berselisih dengan kenderaan lain. Anak-anak muda di kampung itu juga masih bersantai di kedai-kedai makan yang dibuka sehingga lewat pagi.

Tapi selepas sepuluh minit melepasi Kampung Kubu Gajah, hati saya mula tak keruan. Perasaan seram, takut, mula menyelubungi diri. Saya betul-betul gelisah. Kepala pula asyik teringat cerita-cerita seram.

Saya jadi begitu sebab sejak melepasi kampung tadi, saya langsung tak berselisih dengan kenderaan lain. Hanya saya seorang yang menggunakan jalan tersebut waktu itu. Dalam hati pula tak henti-henti membaca semua surah-surah yang saya ingat.     

Di luar, hujan masih turun dan sedikit lebat hingga membuatkan air bertakung di atas jalan. Saya memang tak boleh memandu laju, risau sekiranya terbabas. Lagi pula jalan itu merupakan hutan simpan. Banyak binatang buas melintas terutamanya babi hutan.

Dalam keadaan gelisah itu, saya cuba tenangkan diri dan tumpukan pada pemanduan.   Entah sampai di kawasan mana, saya tidak pasti. Apa yang saya ingat, sebaik kereta melepasi satu selekoh tajam, saya tergamam. Serta-merta saya menekan brek dan memberhentikan kereta.

Badan saya menggigil seram. Tubuh bagai kejang, sehingga nak telan air liur pun tak mampu. Apa yang saya nampak?

Berdiri di tengah jalan, 20 meter di hadapan saya sekujur lembaga berselubung kain putih. Jelas melalui cahaya lampu kereta, tinggi makhluk itu sekitar lapan kaki. Rambutnya mengurai panjang sehingga ke atas jalan. Makhluk itu menundukkan kepala menyebabkan rambut panjangnya mengurai jatuh menyembunyikan wajahnya.

Entah berapa lama kejadian itu berlaku saya tidak ingat. Entah bagaimana, tiba-tiba muncul perasan berani. Sambil menjerit takbir sekuat hati… Allahuakbar! Saya memasukkan gear, menekan minyak meluncur laju mahu melanggar makhluk tadi.

Baru beberapa meter kereta bergerak, jelas di mata, saya lihat makhluk itu terus melayang ke udara, seperti kapas sebelum hilang beberapa saat kemudian. Waktu itu tiada apa yang saya fikirkan kecuali HANTU!

Dalam keadaan tangan dan tubuh yang masih menggigil, saya terus memandu berhati-hati. Berapa laju saya bawa kereta, saya tak pasti. Setengah jam kemudian, akhirnya saya tiba di persimpangan jalan untuk ke Kamunting. Saya menarik nafas lega.

Sampai di rumah Man, apa yang berlaku saya ceritakan semula kepadanya. “Dah ramai yang kena kalau lalu jalan tu,” beritahu Man.

Man kemudiannya membuka cerita, bapa saudaranya pun pernah diganggu ketika memandu lewat malam melalui jalan Pondok Tanjung tersebut. Tapi adakah sama seperti makhluk yang menyakat saya, Man tidak tahu.

Akibat kejadian itu juga, saya terpaksa meminta Man menandu kereta pulang ke Ipoh. Seluruh badan saya terasa lemah. Lebih parah, apabila sampai di rumah sewa sekitar pukul 3.00 pagi, saya langsung tak dapat melelapkan mata.

Setiap kali mata nak tertutup, bayangan makhluk itu akan muncul. Sejak kejadian menyeramkan itu, saya tidak berani lagi gunakan jalan Pondok Tanjung pada malam hari. Saya memilih menggunakan laluan, Bagan Serai- Selama.

Cukuplah sekali, saya tak mahu bertemu makhluk itu lagi!

No comments: