Thursday, June 19, 2025

SBDJ (JILID 1) : EP20 - MEMBURU RAJA PUKAU

 TAMAR JALIS

SIRI BERCAKAP DENGAN JIN

JILID 1


 

SBDJ (JILID 1) : EP20 - MEMBURU RAJA PUKAU

“Bertaubatlah pada Allah dan aku minta kau serahkan tengkorak itu pada aku”, datuk mengemukakan permintaan secara jujur. 

Belum pun sempat ketua pukau melakukan apa yang di perintahkan datuk, Din Kerani pun datang. Datuk terus memberitahunya, bahawa kaki pukau yang di cari ada di hadapan. Din Kerani mahu bertindak untuk membawa kaki pukau ke balai polis. Permintaan itu tidak dapat ditunaikan oleh datuk.

“Maafkan orang yang bersekutu dengan syaitan lebih mulia dari menghukumnya. Dengan kesempatanyang kita berikan, boleh membuat mereka insaf dan kembali ke ajaran Islam yang sebenamya”, itulah alasan yang diberikan oleh datuk pada Din Kerani.


Datuk membebaskan mereka, dan mereka berjanji akan memberikan pada datuk tengkorak kecut yang digunakan ketika mencuri. Sejak terjadi peristiwa itu, kejadian mencuri dengan memukau tidak lagi berlaku. Saya dan datuk terus duduk di Kampung Tanjung Tualang selama tiga minggu lagi. Dalam rancangan datuk, sesudah dia mendapatkan tengkorak kecut dari ketua pukau, barulah dia pulang ke kampung.

Ternyata, ketua pukau tidak menunaikan janjinya. Mereka berpindah tempat melakukan kegiatan memukau di kawasan Kampar pula. Datuk merasa kesal kerana membebaskan mereka tempohari. Sedarlah datuk, sekali syaitan me‐nguasai hati manusia memang sukar untuk membuangnya.

Datuk menjadi manusia yang paling berdukacita dengan kejadian itu. Lebih‐lebih lagi berita itu didengarnya pada setiap hari bila dia berjemaah ke surau. Datuk pun mengambil keputusan untuk pulang ke kampung dan dia akan cuba menghancurkan kumpulan pukau itu dengan caranya yang tersendiri.

Dua hari di kampung, datuk terus mengajak saya pergi ke Kampung Bahagia di Teluk Intan. Kami tinggal di rumah seorang ustaz yang mengajar di sekolah Sultan Abdul Aziz. Dengan secara jujur datuk memberitahu ustaz tersebut yang secara kebetulan mempunyai pertalian keluarga yang agak jauh dengan nenek, tujuannya datang untuk kesitu untuk memberkas kumpulan pukau.

Ustaz tersebut memperkenalkan datuk dengan seorang mata gelap. Mat Jali namanya, orang Lambor Kanan. Mat Jali memang sudah lama mengikuti kegiatan kumpulan pukau tersebut. Mat Jali memang mengharapkan dengan adanya kerjasama dari datuk, kegiatan kumpulan itu akan segera dapat ditumpaskan. Memang datuk berazam, bila kumpulan itu dapat di berkas, datuk tidak akan memberikan ampun dan maaf pada mereka. Datuk mahu mereka dihukum mengikut undang‐undang yang telah di tetapkan.

Suatu petang Mat Jali datang menemui datuk. Mereka bercakap panjang di halaman rumah hingga waktu Maghrib. Lepas waktu maghrib, lagi sekali Mat Jali datang menemui datuk. Saya tidak mahu ambil tahu dengan apa yang me‐reka bicarakan. Perkara yang nyata ialah, sambil datuk bercakap, Mat Jali mencatatkan sesuatu di kertas kecil. Sebelum Mat Jali meninggalkan rumah, Datuk terus berpesan padanya:

  “Saya yakin, mereka akan di situ malam ini. Saya yakin dengan pertolongan Allah yang Maha Besar, firasat saya ini betul, dan awak akan berjaya”

“Semoga Allah akan memberkati kerja saya ini”

“Sama‐samalah kita berdoa”, sahut datuk dari muka pintu.

Datuk masuk kerumah. Dia terus membaca surah Yassin, duduk di ruang tengah bersama saya dan ustaz. Menurut datuk, kumpulan pukau itu akan kecundang. Dua sebab kenapa kumpulan pukau itu kecundang. Pertama, ketuanya mungkir janji dan dan kedua gurunya sendiri tidak merestui kerja tersebut.

“Kerja dia orang licin”, kata ustaz.

“Saya tahu. Guru mereka kawan saya dan sudah pun mati, sekarang rohnya tak aman.”

“Macam mana Wak tahu hal itu?”

“Kerja jahat, janganlah ditanya. Pada Wak, cuma Wak mahu buat dengan tak mahu buat saja. Setiap kerja yang kita lakukan kita harus memikirkan apakah kerja tu di berkati oleh Allah atau tidak”

“Saya paham”

Cuma setakat itu saya dengar kata‐kata datuk dan ustaz. Lepas itu masing‐masing masuk bilik. Lebih kurang pukul dua pagi, rumah ustaz di ketuk orang bertalu‐talu. Datuk buka pintu. Muka Mat Jali tersembul.

“Apa halnya?”, soal datuk.

“Semuanya dapat kami tangkap.”

”Dimana?”

“Macam awak katakan itu, mereka nak pukau rumah penghulu Tapah yang duduk di Bidor.”

“Sekarang dia orang di mana?”, tanya datuk lagi. Dia tersenyum puas.

“Di Balai Polis Langkap”

“Kenapa di Langkap, tidak di bawa ke Kampar?”, celah ustaz yang berbadan besar, ada janggut sejemput di dagu, memakai kaca mata putih.

“Tak tahu, pegawai suruh bawa ke Langkap, esok baru di bawa ke Kampar”

“Begitu”, suara datuk lemah.

Malam itu juga, saya dan datuk naik kereta Moris Minor Mat Jali menuju ke Balai Polis Langkap. Atas daya usaha Mat Jali, datuk dan saya dapat menemui ketua pukau bersama kawannya di dalam lokap.

  “Kenapa kamu tak insaf?”, soal datuk pada ketua pukau. Pertanyaan datuk itu tidak mendapat jawapan.

Ketiga‐tiga kaki pukau itu diam membisu. Dari Mat Jali datuk mendapat tahu nama sebenar ketua pukau itu ialah Kusman tetapi lebih dikenali dengan panggilan Hitam. Sudah ada anak dan isteri. Anaknya yang besar belajar tingkatan dua di Kampar yang pada masa itu dibela oleh abangnya. Datuk terus meminta tengkorak kering dari ketua pukau.

Datuk memberitahu tengkorak kering itu harus di pulangkan kepada tuannya secara ghaib, di samping itu datuk juga memberitahu, bawa guru mereka Tandang Ali memintanya mengambil tengkoraknya itu dari mereka.

“Dia sudah mati”, meletus jawapan dari ketua pukau.

“Aku tahu, tapi rohnya tidak aman. Bila harta peninggalannya kau pulangkan pada yang berhak, baru dia aman. Aku tahu, dia kawan aku”.

Ketua pukau terdiam. Datuk terus memujuknya. Hingga terbit fajar pagi datuk tidak memperolehi apaapa darinya. Datuk tahu tengkorak itu ada padanya. Siapa pun tidak akan menjumpainya kalau mencari di badannya, kecuali meng‐gunakan beberapa petua yang tertentu. Tengkorak itu boleh di sembunyikan dicelah kulit bahagian paha dimana orang tidak akan nampak.

Pada pukul 10 pagi datuk melihat ketua pukau itu dimasukkan ke dalam perut jeep untuk di bawa ke Balai Polis Kampar. Sebelum bertolak datuk mengingatkan polis yang mengawalnya supaya berhati‐hati dengan ketua pukau. Meskipun tangan digari, dia boleh melepaskan diri. Ketua pukau itu juga mempunyai beberapa kebolehan dalam ilmu kebatinan. Bagi menjamin ketua pukau itu tidak boleh melepaskan diri, datuk menawarkan diri untuk mengikuti jeep itu pergi ke Kampar.

Permintaan datuk itu tidak dapat ditunaikan oleh ketua Balai Polis Lengkap. Datuk merasa bertuah kerana Mat Jali bersedia membawa datuk ke Kampar dengan menaiki keretanya kerana Mat Jali mengekor dari belakang.

Datuk nampak resah sahaja. Dia menyatakan pada Mat Jali ada sesuatu yang akan berlaku dalam perjalanan. Tetapi Mat Jali meyakinkan datuk, bahawa semuanya berjalan dengan baik, malah dia yakin ketua pukau itu tidak akan berjaya melepaskan diri.

Datuk diam. Dia memejamkan kedua belah matanya. Dahinya berkerut. Mukanya mula di‐datangi oleh peluh‐peluh halus. Saya tahu, bila datuk melakukan hal sebegitu, dia merenung atau menilik sesuatu yang jauh darinya.

“Dia berjaya membuka garinya”, tiba‐tiba datuk bersuara agak keras.

Ketika itu kereta jeep yang membawa ketua pukau sedang melintas jambatan di Sungai Air Kuning, dekat Kampar (jambatan itu dirobohkan dalam dalam tahun 1976, sebagai gantinya satu jambatan baru telah dibina, seperti yang ada sekarang ini).

“Dia akan terjun ke dalam sungai”, kata datuk lagi.

 Sebaik saja datuk selesai bercakap, saya dan Mat Jali melihat ketua pukau terjun keatas jalan raya, kemudian terjun ke dalam sungai. Polis yang berada di sisinya terpaku. Mat Jali membunyikan hon menyuruh kereta jeep berhenti. Jeep itu pun berhenti dan Mat Jali menghentikan keretanya ke tepi. Datuk keluar dari perut kereta.

“Dia agak handal orangnya”, ujar datuk sambil merenung kedalam sungai yang berbuih. Polis angkat rifle dan menjunamkan muncung ke arah perut sungai.

“Kita tidak akan dapat menangkapnya. Dia ada ilmu tahanair”, kata Datuk.

Cakap datuk itu memang benar. Tiga puluh minit menunggu, ketua pukau tidak juga muncul. Air tempat dia terjun tetap berbuih.

Datuk memberitahu Mat Jali dia boleh memberkas ketua pukau itu, tetapi memakan masa sedikit. Datuk meminta Mat Jali menyuruh pemuda jeep membawa kawan ketua pukau ke Kampar. Jeep pun bergerak.

Datuk berdiri di tebing sungai. Dia mengambil air sungai dengan daun keladi. Air itu di lambung ke atas. Sebelum air itu jatuh ketanah, datuk menyambutnya dengan mulutnya, kemudian air itu disemburkan ke dalam perut sungai. Saya lihat air sungai bagaikan mengelegak dan berbuih‐buih, kemudian tempat ketua pukau terjun itu berpusing‐pusing menjadi semacam lubuk.

Dengan mendadak sahaja air sungai itu menjulang badan ketua pukau lalu mencampakkannya ke tepi tebing. Ketua pukau tersadai di situ. Dari bawah dagunya keluar satu benda putih.

Benda itu berbuih dan akhirnya menjadi satu tengkorak. Datuk pun mengambil tengkorak tersebut. Datuk merawat ketua pukau hingga pulih. Dia berdiri sambil merenung Mat Jali di sisinya, dan bagaikan kilat dia merampas pistol Mat Jali, lalu melepaskan tembakan ke arah datuk.

Datuk cepat‐cepat menguncikan sendi badannya. Pistol di tangan ketua pukau terjatuh di kaki, dan secara mendadak saja pistol itu meletup dan pelurunya mengenai perut kedua pukau. Sebelum ketua pukau rebah ke bumi, datuk memeluk tubuhnya dan dengan sekilap mata sahaja datuk muntah darah. Seluruh badan datuk menjadi biru.

Datuk rebah ke bumi. Batang tubuh ketua pukau terlepas dari pelukannya. Mat Jali menghampiri ketua pukau yang sudah kaku itu. Dari lubang hidung dan telinga keluar darah yang merah kental. Saya menghampiri datuk. Tubuhnya masih berwarna biru. Muntah darahnya sudah berhenti. Datuk membuka tangannya perlahan‐Iahan. Tengkorak yang dipegangnya menjadi hitam, macam arang dan akhimya bertukar menjadi serbuk halus macam amang bijih yang dibuang.

“Campakkan ke air”, kata Datuk.

Saya mengambil serbuk hitam itu. Bila berada di atas tapak tangan saya, seluruh badan terasa panas. Cepat‐cepat saya humbankan ke dalam air sungai. Datuk cuba bangun. Dia tidak berdaya. Setiap kali dia bangun, dia akan rebah. Bagaikan sendi tulang di kepala lurutnya sudah hancur. Saya jadi kelam‐kabut.

Mat Jali masih lagi memeriksa tubuh badan ketua pukau. Cara kebetulan sebuah jeep tentera lalu di situ. Mat Jali menahan jeep tersebut. Setelah berunding, pemandu jeep itu bersetuju membawa mayat ketua pukau ke Balai Polis Kampar.

“Biar saya uruskan datuk saya di sini, kalau boleh encik sampai ke sana, cuba ikhtiarkan sebuah ambulan untuk datuk saya”.

“Saya cuba,” itu janji yang diberikan oleh Mat Jali pada saya. Mereka pun berlepas ke Kampar. Saya merawat datuk mengikut arahan‐arahan yang dikeluarkannya. Walaupun ada orang yang lalu Ialang dijalanraya, mereka tidak menghiraukan kami. Pada sangkaan mereka saya dan datuk pencari rotan yang sedang melepaskan penat di situ.

“Carikan aku daun serunai laut, pucuk daun semuka dan campurkan dengan air sikit. Ramas daun‐daun itu hingga hancur dan sapukan pada kepala lutut aku”, perintah Datuk yang terpaksa saya lakukan.

Hasilnya amat mengejutkan, bila disapu ke kepala lutut dengan iringan jampi tertentu dari Datuk, saya lihat dia boleh bangun.

Walaupun begitu, warna biru di tubuhnya tidak juga mahu hilang. Malah wajah datuk kelihatan lebam macam di pukul sesuatu. Saya bagaikan mahu menangis bila datuk tidak berdaya melangkah. Dia bagaikan terlupa macam mana mahu berjalan. Datuk sandarkan badannya pada sebatang pokok dekat situ.

“Badan aku terasa bisa‐bisa, kepala terasa kosong”, datuk mengadu pada saya sambil meraba batang pokok di belakangnya.

“Apa yang mesti saya buat tok?”

“Tak ada satu pun yang dapat kau buat. Kalau janji aku sudah sampai untuk menemui Allah”

“Tapi kita harus berikhtiar”

“Aku tahu, tetapi kau bukan orangnya untuk membantu aku dalam hal ini”

“Kalau bukan saya, siapakah orangnya tok?”

Datuk terdiam. Badannya jatuh perlahan ke atas bumi. Dia jatuhkan kedua belah kakinya. Saya pun urut kaki datuk.

“Dalam dunia ini tidak ada sesiapa pun yang boleh mengaku handal dalam apa juga bidang. Kalau dia merasa dirinya handal, itu hanya perasaan. Sedangkan ada orang yang lebih handal darinya dan kehandalan diri orang itu pula tertakluk di bawah kekuasan Allah”

Sesungguh saya tidak tahu, apakah cakap itu ditujukan pada saya oleh datuk. Saya perhatikan dalam saat‐saat begitu, datuk bercakap ikut suka hati saja. Inilah yang membimbangkan hati dan perasaan saya. Sedang saya diamok keresahan, Mat Jali dan ambulan pun tiba. Datuk diusung ke dalam perut kereta ambulan untuk dibawa ke rumah sakit Kampar.

Datuk pun diberi rawatan segera. Bagi menghilangkan warna biru dan lebam, datuk terpaksa diberi suntikan ubat. Datuk tidak mahu menerimanya Menurut Datuk suntikan itu akan memberikan kesan yang kurang baik dalam lubuhnya. Mat Jali dan saya terpaksa memujuknya. Datuk tidak berganjak dari keputusannya. Saya memujuknya dengan sedaya upaya yang boleh.

“Tok, suntikan itu untuk memberi kerehatan pada datuk”, kata saya.

“Maksudnya?”

”Bila datuk dicucuk, datuk akan tidur. Tok dapat tenaga”, tambah saya sambiI merenung muka Mat Jali supaya dia mengakui kebenaran cakap saya itu. Setelah termenung lebih dari sepuluh minit, datuk pun setuju untuk melakukan suntikan. Saya terkejut bila seorang juru rawat yang bertugas memberitahu saya, sudah tiga batang jarum patah ketika doktor melakukan suntikan di bahu datuk. Dan doktor tidak mahu meneruskan kerjanya.

“Apa yang mesti saya buat?”, tanya saya pada juru rawat tersebut, sambil merenung ke muka Mat Jali yang duduk di sebelah saya.

“Bagaimana? Boleh kami masuk ke dalam?”, Mat Jali mengajukan pertanyaan. Jururawat yang berketurunan Pakistan tersenyum.

“Boleh. Tuan doktor memang mencari warisnya”

“Sebab?”

“Doktor nak tanya sikit”, beritahu jururawat. Saya dan Mat Jali masuk kedalam bilik. Doktor Melayu yang berkulit hitam itu mempersilakan saya dan Mat Jali duduk.

“Saya orang Melayu, sudah belajar ke luar negeri, tetapi saya tidak membuang kepercayaan dan keyakinan saya pada ilmu batin”, ujar doktor itu sambil menggigit bibir. Dia lalu memperkenalkan namanya pada kami. Namanya Abdul Mutalib, anak jati Batu Pahat, Johor. Baru sebulan bertugas di Kampar, sebelum itu dia bertugas di Hospital Besar Alor Setar, Kedah.

“Saya kurang faham dengan cakap tuan” , suara Mat Jali tenang.

“Kalau orang Melayu tidak percaya pada kuasa ghaib dan kebatinan, ertinya dia bukanlah orang Melayu tulin. Kekuasaan ghaib, dukun dan pawang adalah sebahagian dari teras bangsa kita. Kerana itu saya panggil awak”

“Orang tua ini ada memakai ilmu tahan besii. Suruh dia buka”, doktor itu merenung muka saya. 

Fahamlah saya. Doktor itu memerlukan bantuan dari saya. Saya pun rapat kepada Datuk. Saya membisikan ke telinganya:

No comments: