Thursday, June 19, 2025

ROH MEREKA BERKELIARAN

 

Roh mereka terus berkeliaran kerana impian yang tidak tertunai

Sumber : <<<Mastika>>>

Disember 23, 2023

ROH MEREKA BERKELIARAN

Tentu anda sudah tahu, Kellie’s Castle di Batu Gajah, Perak, merupakan salah sebuah bangunan paling berhantu di Malaysia. Selain Kellie’s Castle, antara bangunan-bangunan lain yang dilabel sebagai berhantu adalah Villa Nabila dan Kemayan City di Johor Baharu serta kawasan Penjara Pudu, Highland Towers dan Victoria Institution di Kuala Lumpur. 

Kembali kepada Kellie’s Castle, banglo agam itu dibina pada 1915 oleh William Kellie Smith, seorang peladang dari Scotland, sebagai hadiah cinta untuk isterinya, Agnes dan dua anak mereka, Helen serta Anthony.


Mengikut perancangan asal, apabila siap kelak banglo itu akan mempunyai 14 bilik yang lengkap dengan lif, menara enam tingkat, gelanggang tenis serta lapangan hiburan. Kosnya 300,000 pound sterling. Seramai 70 orang pekerja dibawa dari Madras, India, untuk membinanya. Batu-batanya juga diimport dari India.

Malangnya Kellie menghadapi masalah kewangan sebelum banglo itu dapat disiapkan. Pembinaannya terus terbengkalai apabila dia meninggal dunia pada 12 Disember 1926 di Lisbon, Portugal akibat radang paru-paru.

Sejak itu, penduduk sekitar sering kali ternampak jelmaannya berkeliaran di sekitar banglo berkenaan. Kellie dilihat berjalan di kaki lima memerhatikan segenap ruang rumah. Dia seolah-olah kecewa kerana tidak dapat menyiapkan banglo tersebut dan tinggal di situ bersama isteri serta anak-anak.

Akhirnya Kellie’s Castle digelar sebagai `Istana hantu.’ Sewaktu berkunjung ke situ lama dahulu untuk tugasan majalah Mastika, banyak cerita-cerita misteri yang saya dengar.

Ramai mendakwa ternampak bayangan Kellie di istananya yang tidak kesampaian untuk disiapkan.

SEMASA bertugas di Pulau Pinang pula, ada cerita misteri sebuah hotel yang sedang dalam pembinaan. Menurut kawan-kawan, hotel itu berhantu kerana jelmaan bekas pemiliknya sering dilihat mundar-mandir di situ.

Kata sahabat tadi, semasa hidupnya usahawan tersebut kerap meninjau kerja-kerja pembinaan yang dijalankan. Bagaimanapun, dia meninggal dunia sebelum sempat hotel disiapkan. Sejak itulah pekerja-pekerja pembinaan sering melihat mendiang berjalan di sekitar hotel seperti yang sering dilakukannya semasa hidup.

Maaf, saya tidak sapat menyebutkan nama hotel itu kerana ia telah siap dan dijual kepada pemilik lain. Nanti tidak tidur malam pula anda yang menginap di sana.

Hantu? Ya, kepada kita, jelmaan-jelmaan itu adalah hantu. Di barat pun begitu. Golongan yang percaya kepada kewujudan hantu dan roh mengatakan entiti ini terjelma akibat hajat yang tidak kesampaian (Unfinished business).

Ia bermaksud, roh seseorang itu berlegar-legar di dunia ini kerana kecewa impiannya tidak sempat ditunaikan. Roh Kellie misalnya dikatakan berkeliaran kerana kecewa dia meninggal dunia sebelum banglonya sempat disiapkan. Hasrat untuk tinggal di situ bersama isteri dan anak-anak tidak tercapai.

Begitu jugalah dengan pemilik hotel di Pulau Pinang tadi. Ini menyebabkan roh mereka enggan meninggalkan dunia ini dan mahu terus berada di tempat yang mereka sayangi tadi buat selama-lamanya.

Dalam masyarakat kita pun banyak kisah sebegini. Lazimnya di rumah-rumah pusaka. Bagi kita ia jelmaan hantu raya belaan arwah. Atau, syaitan dan jin yang hendak menakut-nakutkan kita.

BAGAIMANAPUN, para pengkaji paranormal melihatnya dari sudut berbeza, dalam pelbagai teori. Teori pertama, seperti yang saya sebutkan dulu adalah Stone tape theory dan Water memory.

Sebelum diterangkan lebih lanjut, sekarang saya ingin ceritakan satu kejadian menarik. Suatu malam pada 1953, seorang pesara polis bernama Harry Martindale  membaiki saluran paip di Treasurer’s House, New York. Sewaktu bekerja di bilik bawah tanah, Harry terdengar bunyi pelik.

Tidak lama kemudian, muncul jelmaan seorang tentera zaman silam berjalan sambil meniup trompet, diikuti kereta kuda dan 20 orang soldadu. Pakaian dan topi mereka diperbuat daripada kulit, seperti tentera Rom purba. Mereka membawa pedang dan tombak, manakala sebahagian kaki tidak kelihatan kerana berada di bawah lantai.

Pasukan tentera silam itu berjalan dengan lemah, seperti baru pulang dari medan perang. Mereka kemudian melintasi sebuah lubang menuju ke arah terowong di bawah bangunan itu, seterusnya menembusi dinding dan terus lenyap.

Daripada sudut kajian paranormal, jelmaan ini dilihat kerana keupayaan sesuatu objek, misalnya dinding dan batu merakam visual peristiwa yang sedang berlaku. Ia kemudian terulang tayang dan dilihat kembali oleh seseorang yang mempunyai medan psikik serta emosi yang setara dengan kejadian tersebut.

Itu satu teori. Teori kedua ialah keupayaan air merakam sesuatu visual serta tenaga emosi yang dilepaskan oleh seseorang. Bagaimana air mampu merakam memori dan memindahkannya kepada cecair lain.

Namun ada yang lebih menarik daripada itu. Dalam kes di atas, setiap benda mempunyai air, termasuk tanah, dinding simen dan batu-bata. Menurut pengkaji paranormal barat, faktor inilah yang menyebabkan munculnya jelmaan tentera silam di New York tadi.

Kembali kepada Kellie’s Castle dan hotel terbengkalai di Pulau Pinang: Dianggarkan setiap bongkah batu-bata serta dinding konkrit mengandungi tujuh hingga 15 peratus air. Tubuh kita pula 90% air.

Kita menyedut dan menghembus nafas sampailah kepada nafas yang terakhir. Setiap nafas kita terdiri daripada molekul air dan molekul air menyimpan memori. Molekul ini akan tersebar dan terperangkap pada dinding, bumbung, meja, sofa dan sebagainya.

Hari-hari seterusnya, atau mungkin bulan mahupun tahun berikutnya, ada orang lain menyedut molekul air tersebut. Dari paru-paru, molekul ini dibawa ke otak lalu visual tadi tertayang semula di hadapan mata mereka.

Inilah yang menjadi punca mengapa gangguan dan jelmaan-jelmaan aneh sering muncul serta `mengamuk’ apabila sesebuah bangunan dirobohkan. Ini berlaku kerana apabila sesuatu binaan itu diruntuhkan, molekul air yang terdapat di dalam binaan tersebut akan tersebar ke udara.

Bersama robohnya bangunan tadi, maka terhamburlah segala visual rakaman dan tenaga emosi silam. Fenomena inilah yang sebenarnya berlaku di bangunan-bangunan berhantu. Saya harap anda sudah faham tentang teori asas paranormal ini. 

No comments: