Jan 27, 2026

SUARA GHAIB ITU TERUS MENGHANTUI SEHA

 

Sumber : <<<Nita Dahnin | MASTIKA>>>   Oktober 23,2025

SUARA GHAIB ITU TERUS MENGHANTUI SEHA


Suatu malam pada Januari 2013, Seha dan tiga rakannya singgah di sebuah kedai makan di Arau, Perlis. Bersebelahan meja mereka, duduk sepasang suami isteri dan seorang wanita tua. Mungkin ibu kepada salah seorang suami isteri tersebut.

Entah mengapa, mata Seha tertarik memerhatikan gelagat wanita tua itu. Jika ikut raut wajah, usia wanita itu mungkin awal 60-an. Namun penampilannya agak ranggi berbanding wanita seusianya. Wanita itu memakai baju sejuk dengan slack hitam, serta menggayakan turban seperti penyanyi Yuna.


Yang menjadi kehairanan, Seha perhatikan wanita tua itu kadangkala memejamkan mata sambil mulutnya kumat kamit membaca sesuatu. Kemudian, fuhh… wanita tua itu nampak seperti menghembus ke kiri dan ke kanan. Pasangan suami isteri di sebelahnya buat tak tahu, langsung tidak mempedulikan gelagat wanita itu.

Apa nenek itu buat? Dia baca apa? Kenapa dia hembus-hembus? Itu antara persoalan yang bermain dalam benak Seha. Tapi, dia tidak pula menceritakan keanehan itu kepada rakan-rakannya yang sedang berselera menjamah makanan.

Selesai makan, mereka pulang ke rumah sewa mereka. Dalam perjalanan, entah kenapa Seha berasa lain macam. Jantungnya berdebar-debar, perutnya tiba-tiba menggelodak, seakan-akan mahu keluar segala isinya.

Sebaik tiba di rumah, Seha terus terduduk. Arghhhhhh!! Tiba-tiba dia menjerit. Rakan-rakannya terkejut. Apatah lagi suara jeritan Seha berubah, bukan suaranya. Ia bagai suara seorang lelaki yang garau.

“Jangan kacau aku, jangan kacau aku!” tiba-tiba Seha menjerit, bagai orang hilang akal.

Keadaan mula jadi kelam kabut. Salah seorang rakan menelefon seorang ustaz berhampiran untuk meminta bantuan. Hampir 45 minit Seha bergelut dengan diri sendiri. Rakan-rakan cuba menenangkannya sehinggalah ustaz tiba di rumah mereka.

Sambil memegang ubun kepalanya, Ustaz itu membaca ayat-ayat suci. Ketika itu, Seha menggelupur kesakitan. Sebaik Ustaz itu menepuk belakang badannya, uwekkkk! Serta-merta Seha muntah yang isinya hitam pekat bagai arang dan bentuknya seperti biji-biji kopi yang hancur.

Akhirnya, Seha kembali pulih. Bila ditanya, Seha ceritakan perihal dia pergi makan dengan rakan-rakan dan juga berkaitan wanita tua yang kelihatan ganjil itu.

Mengikut kata ustaz tersebut, ada sesuatu yang tidak baik ingin dilakukan wanita tua itu, namun tempiasnya terkena kepada Seha. Tak mengapalah, yang penting Seha sudah pulih semula.

SEJAK sembuh dari keadaan ganjil malam itu, ada sesuatu yang aneh mula berlaku pada diri Seha. Selepas keadaan kembali  tenang, suatu malam, Seha berasa tidak sedap hati.

“Aku dah lama tunggu kau. Aku suka kau. Kenapa kau tak nampak aku?” tiba-tiba muncul satu suara aneh.

Seha berpaling, mencari-cari arah suara itu. Dia keliru. Tiada ada sesiapa di sampingnya. Namun Seha dapat rasakan ada ‘sesuatu’ berdekatan dengannya dan melontarkan pertanyaan itu.

“Kenapa tak terima aku? Kenapa tolak aku?” suara itu seakan berbisik di dalam kepala Seha. ‘Benda’ itu bukan bercakap kepada Seha melalui bisikan ke telinganya, namun seperti berkata-kata di dalam fikiran Seha tanpa dapat dikawal.

Siapa yang berkata-kata dalam fikirannya itu? Apa ia mahu? Seha mula berasa takut. Tetapi, semakin dia mahu melupakan, kian kerap pula suara aneh itu muncul dalam benaknya.

Pernah semasa Seha bercuti dengan rakan-rakannya ke Port Dickson, mereka berkhemah di tepi pantai. Lebih kurang jam 11.00 malam, mereka pergi ke surau berdekatan untuk mandi dan menyalin pakaian.

Ketika berada dalam tandas, Seha tiba-tiba terasa sesak nafas dan tidak selesa, lantas dia keluar dahulu berbanding rakan-rakan yang lain. Sewaktu di luar tandas, Seha terdengar lagi suara aneh itu menegurnya.

“Aku tak kacau kau, kau jangan kacau kawan-kawan aku,” kata Seha dalam hati, berdialog dengan suara ghaib itu. Mujurlah malam itu tiada apa-apa yang berlaku dan mereka pulang dengan selamat.

Pernah di waktu yang lain, Seha sedang tidur dan terjaga jam 7.00 pagi.  

“Kenapa kau tinggalkan aku? Kenapa kau tak percayakan aku?” suara aneh itu muncul lagi dalam fikiran Seha.

Suara itu kemudian menyebut tiga nombor telefon. Entah mengapa, Seha pula terus menaip nombor-nombor itu dan menyimpannya dalam telefon bimbitnya sebelum menyambung tidurnya semula.

Petang itu, baru Seha teringat tentang nombor telefon yang diberi suara ghaib itu. Dia semak semula nombor itu berserta gambar profil WhatsApp mereka.

Gambar profil nombor pertama adalah sebuah keluarga, nombor kedua pula profilnya gambar sebuah kereta, tetapi nombor ketiga agak mengerikan. Profilnya adalah gambar hantu yang menakutkan.

Seha bingung kerana ketiga-tiga nombor telefon itu memang benar wujud namun dia tidak mengenali siapakah pemiliknya. Apakah ada sesuatu yang ingin disampaikan oleh suara ghaib itu, atau ia hanya sekadar ingin mengacau sahaja?

Bukan itu sahaja, pernah satu ketika Seha pergi ke hospital atas urusan tertentu dan ketika itu dia melalui bahagian bilik mayat.

“Tolong! Tolong!” tiba-tiba Seha mendengar suara ghaib meminta tolong sewaktu dia lalu di situ. Wajahnya terus pucat, namun Seha cuba untuk memekakkan telinga.

Pernah juga pada satu malam di fakultinya, Seha terdengar bunyi suara budak mengilai-ilai. Pun dia cuba buat tak tahu saja. Semasa Seha berada dalam tahun kedua di sebuah institut pengajian awam di Selangor, suatu malam suara ghaib itu datang mengganggu Seha lagi.

“Jangan buat perangai, aku tak nak kawan aku nampak nanti,” Seha bercakap sendiri dalam hati, ditujukan kepada suara ghaib itu.

Namun malam itu Seha gagal untuk mengawal dirinya. Suara ghaib itu bagai berjaya merasuk dirinya. Tiba-tiba Seha mengamuk dan keluar suara lelaki dari mulutnya.

Rakan-rakan yang lain mula cemas. Menyangka Seha sakit, mereka bawa Seha ke klinik di universiti tersebut.

“Berhenti, kau jangan baca ayat Kursi tu!” suara lelaki itu keluar lagi daripada mulut Seha.

Terkejut doktor yang merawat itu. Memang benar ketika itu dia sedang membaca ayat Kursi dalam hati. Bagaimana Seha boleh tahu?

Seha kemudian di bawa ke hospital. Namun sebaik tiba di sana, Seha sedar semula dan normal seperti biasa. Melihat keadaannya yang beransur pulih, mereka pulang semula ke rumah. Malam itu Seha tidur dengan tenang ditemani rakan-rakannya dan bacaan surah Yasin yang dipasang oleh mereka.

Sehingga kini, suara ghaib itu masih juga muncul dalam benak Seha. Kadangkala apabila melalui sesuatu tempat, Seha turut mendengar suara-suara aneh di sekelilingnya. Namun, dia tidak nampak sesiapa.

Kata Seha, suara yang didengarinya bertutur dalam bahasa Melayu. Namun, kadang-kala ada juga yang bertutur dalam bahasa ganjil yang tidak difahaminya.

Sudah beberapa kali juga Seha pergi berubat dengan pengamal perubatan Islam, namun itu selalunya hanyalah proses untuk mengubati dirinya ketika dirasuk oleh suara ghaib itu. Sehingga kini, dia masih lagi terdengar suara aneh itu.

Ada antara pengamal perubatan itu memberitahu, hijab pendengaran Seha sudah terbuka. Sebab itu dia sering boleh mendengar suara-suara aneh di sekelilingnya. Hendak menutup hijabnya ini agak sukar dan rumit, oleh itu Seha teruskan sahaja kehidupannya dengan keadaannya sekarang.

Seha teringat kata-kata seorang ustaz yang ditemuinya, “Jangan anggap perkara yang berlaku ini sebagai beban, namun anggaplah ia sebagai satu rezeki.”

Pun begitu, sehingga kini Seha masih tidak tahu apakah kelebihannya ini berguna atau pun tidak. Jika ya, bagaimana? Jika bahaya, apa pula perlu dilakukannya?

*Kisah ini diceritakan Seha kepada wartawan Mastika. Sudah ramai pengamal perubatan ditemuinya, kini Seha hanya mampu untuk cuba berdamai dengan kelebihannya itu.

Sumber : Nita Dahnin

https://utusantv.com/2025/10/23/suara-ghaib-itu-terus-menghantui-seha/

No comments: